Ahli Parlimen Kota Bharu, Datuk Seri Takiyuddin Hassan

KUALA LUMPUR – Kenyataan media Majlis Perundingan Agama Buddha, Kristian, Hindu, Sikh dan Tao Malaysia (MCCBCHST) bahawa cadangan pindaan Akta Mahkamah Syariah (Bidangkuasa Jenayah) 1965 (Akta 355) untuk meningkatkan bidang kuasa hukuman bagi kesalahan-kesalahan jenayah syariah di Mahkamah Syariah “akan menjadi tidak berperlembagaan” tersasar dan bermasalah dalam banyak segi.

Tegas Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan MCCBCHST sepatutnya tidak mencampuri atau dilihat cuba mencampuri urusan hal-ehwal dan pentadbiran agama Islam sesuai dengan kedudukan khas serta istimewanya sebagai Agama Persekutuan.

“Seiring dengan perkara itu, perlu juga diingat bahawa hak dan kebebasan beragama yang dijamin oleh Perlembagaan bagi agama-agama di Malaysia turut meliputi agama Islam dan perlu dipatuhi serta dihormati oleh semua pihak dan golongan.

“Pas percaya “percanggahan atau polemik undang-undang” yang cuba dibangkitkan oleh MCCBCHST adalah tidak berkaitan sama sekali dengan kedudukan dan peranan sahnya sebagai sebuah majlis perundingan agama terutama sekali apabila ia tidak menunjukkan sebarang bukti atau contoh bagaimana pentadbiran atau pindaan undang-undang Islam berkenaan boleh memberi kesan ke atas agama atau amalan agama-agama bukan Islam di negara ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Pertengahan Mac lalu, MCCBCHST menggesa Peguam Negara campur tangan terhadap langkah Kerajaan Kelantan untuk menggubal semula peruntukan jenayah syariah yang dibatalkan oleh Mahkamah Persekutuan.

Menurut Takiyudin, sebagai pelindung terhadap kepentingan awam, kedaulatan undang-undang dan Perlembagaan Persekutuan, Peguam Negara harus bertindak kerana penggubalan semula peruntukan itu akan menjadi ancaman serius terhadap demokrasi dan menggugat kestabilan negara.

Mengulas lanjut, Takiyuddin turut mempersoalkan tindakan MCCBCHST samada mahu berperanan sebagai penyibuk atau “hantu orang tengah” (ghost intermeddlers) dalam isu berkenaan.

“Sebagaimana yang pernah dinyatakan dalam beberapa penghakiman di Mahkamah Persekutuan sebelum ini berkaitan isu yang sama kerana perbuatan sedemikian akan hanya menimbulkan kecurigaan yang mendalam terhadap niat dan motif sebenar majlis itu sendiri.

“Kedua, sebagai badan perundingan agama, Pas beranggapan peningkatan amalan beragama yang meluas, sihat dan teratur dalam kalangan pengikut semua agama tentulah menjadi antara cita-cita murni MCCBCHST atas kesedaran bahawa ia berpotensi menyumbang kepada peningkatan mutu kehidupan rakyat dan negara.

“Namun malangnya, dalam konteks penambahbaikan kepatuhan orang Islam kepada agama mereka melalui cadangan pindaan undang-undang di atas, MCCBCHST cuba menghalang dan menyekatnya dengan bantahan yang tidak berkaitan dan naratif yang salah,” katanya lagi.

Dalam pada itu, Takiyuddin menggesa kepimpinan kerajaan supaya segera memberikan respons terhadap kenyataan MCCBCHST yang boleh dianggap songsang itu, sekali gus mengambil tindakan sewajarnya dengan kadar segera.

“Bagi Pas, ini bukan sahaja tindakan yang keterlaluan dan provokatif tetapi boleh dilihat sebagai perbuatan mencetuskan permusuhan dan tidak boleh diterima sama sekali dalam sebuah negara yang menjunjung cita-cita kerukunan dan perpaduan rakyatnya.

“Pas menegaskan bahawa cadangan pindaan Akta 355 tidak bertentangan dengan mana-mana peruntukan atau struktur asas Perlembagaan Persekutuan dan adalah sah serta berperlembagaan,” katanya lagi. – MalaysiaGazette