Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali bercakap kepada media selepas membuat lawatan ke Pusat Arahan Penguatkuasaan di Pejabat KPDNKSH, Putrajaya. Foto FAREEZ FADZIL, 05 APRIL 2024.

PUTRAJAYA – Tindakan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mengarahkan Jemaah Menteri turun padang memantau bekalan dan harga barang mencerminkan komitmen kerajaan dalam menangani kos sara hidup rakyat.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, ia bukan sekadar arahan bahkan Perdana Menteri sendiri turun padang membuat pemeriksaan bekalan dan harga barang khususnya semasa musim perayaan.

“Itu menggambarkan komitmen daripada kerajaan di bawah pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim. Beliau mahu setiap Menteri Kabinet dan semua wakil rakyat mengambil masa turun ke pusat-pusat perniagaan seperti bazar Ramadan dan pasar-pasar melihat bekalan dan juga harga.

“Kita tahu pemimpin kita sentiasa turun padang namun Perdana Menteri ingin turun padang dan sambil melihat kepada aspek bekalan dan harga tersebut.

“Ini mengambarkan bukan beliau sendiri turun ke bazar Ramadan bahkan beliau mengarahkan semua menteri dan wakil rakyat supaya melakukan tindakan sama,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Pada 3 April lalu, media melaporkan Perdana Menteri mengarahkan semua menteri supaya turun padang untuk melihat sendiri keadaan semasa termasuk isu berkaitan harga dan kuantiti barang keperluan di pasaran.

Ini berikutan maklum balas yang diterima Anwar daripada beberapa siri program yang dihadirinya, kata jurucakap kerajaan, Fahmi Fadzil selepas mesyuarat Kabinet pada Rabu lalu. – MalaysiaGazette