KUANTAN – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) berharap masyarakat sedar dan tahu istilah tanda merah jambu sebagai barangan kawalan dalam pelaksanaan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Hari Raya Puasa 2024.

Timbalan menterinya, Fuziah Salleh jua berharap selain pengguna, para peniaga juga perlu mematuhi pelaksanaan SHMMP itu yang dilakukan selama 15 hari bermula hari ini sehingga 14 April ini.

Fuziah Salleh

”Tujuan utama tinjauan dilakukan adalah bagi memastikan semua pihak terutama para peniaga dapat mematuhi harga-harga barangan yang telah diwartakan ini dan menggunakan label merah jambu bagi barangan yang dikawal harganya.

”Kita harap peniaga mematuhi harga yang dittapkan dengan meletakkan tanda harga merah jambu kerana setiap tahun banyak aduan tidak meletakkan tanda harga dan tanda merah jambu.

”Jadi kita nak beritahu pengunjung supaya tahu bahawa tanda merah jambu adalah barangan kawalan,” katanya ketika sidang media sejurus meninjau pelaksaan SHMMP Hari raya Puasa 2024 di Pasaraya LYC dekat Kemunting hari ini.

Mengulas lanjut, Fuziah berkata, seramai 2,200 penguat kuasa (KPDN) dan hampir 1,000 pegawai pemantau harga terlibat SHMMP Hari Raya Puasa kali ini.

”Semua pegawai terlibat dalam tempoh pelaksanaan 15 hari ini melibatkan lima hari sebelum perayaan, satu hari semasa perayaan dan sembilan hari selepas perayaan.

”Mana-mana peniaga yang melakukan kesalahan akan diambil tindakan di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 dan boleh dikenakan penalti.” katanya.

Kesalahan menjual barangan harga terkawal melebihi harga maksimum bagi individu; boleh didenda oleh mahkamah sehingga RM100,000 atau dipenjarakan tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya atau dikompaun sehingga RM50,000; dan kesalahan bagi syarikat; boleh didenda sehingga RM500,000 atau dikompaun sehingga RM250,000.

Manakala kesalahan gagal meletakkan tanda harga berwarna merah jambu bagi barangan harga terkawal boleh didenda oleh mahkamah sehingga RM10,000 atau dikompaun sehingga RM5,000 bagi individu serta bagi syarikat boleh didenda sehingga RM20,000 atau dikompaunsehingga RM10,000. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast