TANJONG KARANG – Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) sedia menawarkan khidmat nasihat guaman kepada Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Dr Muhamad Akmal Saleh sekiranya memerlukan.
Ketua Penerangan Srikandi, Nurul Syazwani Noh berkata, walaupun berbeza fahaman politik, namun Bersatu menyokong tindakan Dr Akmal dalam perjuangan dan pendirian mempertahankan kesucian Islam dan Kalimah Allah.
“Saya nampak Dr Akmal ini memperjuangkan ini prinsip Agama, Bangsa dan Tanah Air (ABATA).
“Kami daripada Bersatu dan Perikatan Nasional, saya pasti berpendapat yang sama dan solidariti bersama Dr Akmal
“Islam itu satu, bangsa Melayu kita ini satu, kalau isu macam ini, kita akan sama-sama menyokong penuh dan memberi solidariti kepada Dr Akmal.
“Saya pun seorang peguam, seandainya Dr Akmal memerlukan apa-apa nasihat guaman daripada Bersatu, atau saya sendiri, saya sudi untuk memberi bantuan nasihat Insya-Allah,” katanya pada sidang media, di sini, hari ini.
Semalam, Dr Akmal mengesahkan beliau telah ditahan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu.
Beliau yang baru tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA) dari Kuala Lumpur ditahan walaupun telah dijadualkan untuk memberi keterangan di IPD Dang Wangi pada Sabtu.
Dr Akmal juga bertegas, tidak akan berganjak walau seinci dengan pendiriannya.
Sebelum ini, Pemuda UMNO memberi tempoh dua hari kepada pengurusan KK Super Mart untuk memasang kain rentang di semua 881 cawangan kedai serbaneka itu di seluruh negara bagi memohon maaf atas penjualan stoking tertera kalimah ‘Allah’.
Dr Muhamad Akmal juga dipetik memberi amaran Pemuda UMNO akan memulakan boikot lebih kuat terhadap KK Super Mart sekiranya pengurusan kedai serbaneka itu gagal mematuhi tuntutan pergerakan berkenaan.
Nurul Syazwani yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Permatang mengakui Dr Akmal adalah pemimpin muda yang semakin menyerlah dan menjadi harapan kepada anak muda di dalam UMNO.
“Saya nampak dia seolah-olah sebagai harapan terakhir untuk anak-anak muda kekal relevan bersama UMNO.
“Orang-orang muda hari ini memang sudah menukar sokongan, saya nampak masa PRU15 lepas dan terbukti sekali lagi sekali pada PRN15 lalu,” katanya.
Katanya, tindakan Dr Akmal itu merupakan salah satu cara untuk memperbetulkan UMNO untuk kekal relevan di mata generasi muda.
“Ramai generasi dulu lebih walak kepada parti, macam sekarang UMNO buat apa pun tapi generasi lama masih sayang UMNO.
“Tapi apa yang anak-anak muda buat sekarang ini terutama pemimpin muda, kita semua sama-sama nak betulkan keadaan.
“Kita tak boleh menafikan Malaysia dari segi politik, ekonomi dan sosial memang dalam keadaan sakit.
“Itu yang saya nampak Ketua Pemuda UMNO cuba perbetulkan,” katanya lagi. – MalaysiaGazette