Pathmanathan.

GEORGE TOWN – Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) merayu kepada semua penduduk Pulau Pinang untuk mengurangkan penggunaan air sebanyak 10 peratus bermula bulan ini hingga Jun depan.

Ketua Pegawai Eksekutif PBAPP), Ir K. Pathmanathan berkata, ia bagi memastikan bekalan air di Pulau Pinang mencukupi untuk tahun ini kerana pada Februari lalu, purata penggunaan air di Pulau Pinang ialah 927 juta liter sehari (JLH), berbanding purata tahunan 877 JLH tempoh sama bagi 2023.

Jelas beliau, penggunaan air secara berhemat penting sehingga hujan turun bagi menambah simpanan air mentah Empangan Air Itam dan Empangan Teluk Bahang.

“Pada Mac lepas, PBAPP merekodkan 66.5mm hujan di kawasan tadahan air (KTA) Empangan Air Itam dan kita telah berusaha untuk menstabilkan kapasiti efektif empangan ini melalui pelaksanaan Pelan Tindakan Empangan Air Itam 2024 (AIDAP) yang mana kapasiti efektif empangan turun sebanyak dua peratus dalam tempoh 31 hari.

“Bagi kapasiti efektif Empangan Teluk Bahang pula, turun sebanyak 11 peratus dalam tempoh yang sama. Malah, taburan hujan yang direkodkan di KTA Empangan Teluk Bahang ialah 133.0mm.

“Kapasiti efektif maksimum Empangan Teluk Bahang ialah 18,240 juta liter (ML) manakala kapasiti efektif Empangan Air Itam ialah 2,160 ML. Jadi penurunan satu peratus dalam kapasiti efektif Empangan Teluk Bahang secara kasarnya bersamaan dengan penurunan 8.4 peratus dalam kapasiti efektif Empangan Air Itam,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Tambah Pathmanathan, ramalan cuaca antarabangsa menyatakan fenomena El Nino panas dan kering pada suku pertama tahun ini berkemungkinan memberi laluan kepada fenomena La Nina basah dan hujan yang akan bermula dari Mei, Jun atau Julai nanti.

Jelasnya, MetMalaysia pula meramalkan hujan sederhana untuk Pulau Pinang (200 – 250mm) bermula April hingga Julai namun ia hanya ramalan dan kita tidak pasti hujan sebenar akan mencukupi untuk meningkatkan kapasiti efektif Empangan Air Itam dan Empangan Teluk Bahang dengan ketara atau sebaliknya.

“Selain itu, paras Sungai Muda, sumber air mentah utama Pulau Pinang turun di bawah paras selamat 2.0m di muka sauk Lahar Tiang PBAPP selama lapan hari pada bulan lalu dan meskipun para air sungai itu telah pulih kepada 2.11m namun perlu diingatkan bahawa kapasiti Empangan Muda adalah 40 peratus pada 29 Mac lalu manakala kapasiti Empangan Beris ialah 89.2 peratus pada 26 Mac lalu.

“Oleh itu, demi memastikan keselamatan bekalan air untuk Pulau Pinang, saya ingin merayu sekali lagi kepada semua pengguna air untuk mengurangkan penggunaan air sebanyak 10 peratus pada April, Mei dan Jun ini.

“Penjimatan air sebanyak 10 peratus itu akan membantu memastikan bekalan air mencukupi untuk kita semua tahun ini,” katanya.

MalaysiaGazette pada 30 Mac lalu melaporkan, kerajaan negeri Pulau Pinang memberi  jaminan bekalan air untuk seluruh pengguna negeri itu mencukupi termasuk menampung keperluan ketika Hari Raya Aidilfitri nanti.

Ketua Menteri, Chow Kon Yeow, meskipun Empangan Air Itam berada di paras bawah kritikal iaitu 34.1 peratus ketika ini namun ia tidak menjejaskan keperluan pengguna.

Jelas beliau, ia susulan Pulau Pinang mempunyai Empangan Mengkuang yang berfungsi sebagai empangan strategik bagi menjamin bekalan air di negeri itu tidak terjejas. – MalaysiaGazette

Jangan bimbang, tiada catuan air di Pulau Pinang – Kon Yeow