Gambar hiasan

GUA MUSANG – Aliran trafik pintu masuk ke Kelantan mula sesak dengan kenderaan bertali arus berikutan kepulangan perantau ke kampung halaman sempena Aidilfitri.

Tinjauan setakat 12 tengah hari di laluan Gua Musang-Kuala Krai dan Gua Musang-Kuala Lipis mendapati bilangan kenderaan menghala ke kedua-dua laluan berkenaan semakin bertambah, namun trafik bergerak lancar.

Pekerja syarikat swasta Muhd Firdaus Mamat, 26, berkata perjalanannya dengan menunggang motosikal dari Bukit Jalil, Kuala Lumpur ke Pasir Puteh agak lancar meskipun berdepan beberapa lokasi kemalangan di Bentong, Pahang.

“Saya bertolak dari 6 pagi, ada beberapa tempat yang sesak seperti Plaza Tol Gombak ke Lebuhraya Karak dan paling teruk di Bentong kerana ada beberapa kejadian kemalangan.

“Turut sesak laluan keluar dari Lebuhraya Lingkaran Tengah Utama (LTU) dari Merapoh, Pahang hingga ke Kampung Mentara, Gua Musang kerana kenderaan perlu menukar dari dua lorong menjadi satu,” katanya kepada pemberita di Masjid Buluh di sini hari ini.

Pemandu e-panggilan Mohd Arifuddin Mohamad Zaidi, 25, berkata perjalanannya bersama keluarga untuk pulang beraya telah dirancang seminggu lebih awal bagi mengelak kesesakan jalan raya.

“Hari ini kami mengikut perancangan untuk pulang ke Kota Bharu dengan bertolak pada 4.30 pagi dari Kuala Lumpur dan sampai di Gua Musang pada 10.30 pagi. Saya dapati kesesakan melibatkan kawasan yang berbukit dan akibat jalan ‘bottleneck’.

“Saya ingin menasihati pengguna jalan raya supaya menggunakan aplikasi Google Maps untuk melalui jalan yang tidak sesak dan menjimatkan masa kira-kira sejam berbanding jalan biasa,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Gua Musang Supt Sik Choon Foo mengesahkan berlaku pertambahan bilangan kenderaan dari semalam dan situasi itu dijangka berlarutan hingga menjelang malam raya.

Beliau berkata, antara laluan yang terlibat ialah jalan Gua Musang-Kuala Lipis, Gua Musang-Kuala Krai dan Gua Musang-Jeli. – BERNAMA