Istana Kehakiman, Putrajaya

PUTRAJAYA – Sebuah hotel bertaraf lima bintang dipertanggungjawabkan atas kematian seorang gadis warga China dalam sebuah kolam renang tujuh tahun lepas.

Keputusan itu dibuat oleh tiga panel hakim yang sebulat suara membenarkan rayuan oleh Qi Qiaoxian dan Wang Bin, selaku ibu dan bapa mangsa.

Sebelum ini, Mahkamah Sesyen dan Mahkamah Tinggi telah menolak saman pasangan terbabit terhadap anak gadis mereka yang berusia 22 ketika itu.

Tiga panel itu, Datuk Supang Lian, Datuk Azimah Omar dan Datuk Wong Kian Kheong ketika menyampaikan keputusan itu berkata hotel tersebut telah melanggar kewajipan penjagaannya yang menyebabkan kematian mangsa.

Ketika membacakan keputusan, kata Kian Kheong, mahkamah berpendapat hotel itu telah mengaku cuai selepas pengurus besarnya, Michael Monks telah mencadangkan penyelesaian berhubung kes itu.

“Ibu bapa mangsa mempunyai hak dari segi undang-undang untuk memfailkan tindakan. Kolam renang itu sedalam tiga meter dan hotel bertaraf lima bintang itu sepatutnya memastikan adanya anggota penyelamat bertauliah bertugas apabila kolam itu dibuka kepada tetamu hotel. Ini termasuklah untuk mangsa.

“Sepatutnya seorang pekerja juga perlu memantau kamera litar tertutup (CCTV) yang dipasang di kolam itu,” katanya. 

Mangsa, Qi Xiangqing, seorang guru bahasa dari wilayah Yunnan, China tiba ke Malaysia menggunakan pas pelancong sebelum menginap di Hotel Sunway Putra di Kuala Lumpur, dia ditemui mati pada 14 Februari 2017. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast