KUALA TERENGGANU – Mayat seorang lelaki warga emas ditemukan berhampiran projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) di Kampung Banggol Katong, hari ini.
Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Azli Mohd Noor berkata pihaknya mendapatkan pengesahan peneemuan mayat tersebut oleh orang awam pada jam 10.25 pagi tadi.
Mayat Mohamad Ngah, 67, ditemui penduduk kampung setelah dilaporkan hilang pada Sabtu lepas sejurus keluar dari rumahnya dengan menaiki motosikal beroda tiga.
“Mayat mangsa ditemukan sempurna dan dihantar ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) bagi tujuan bedah siasat.
“Hasil pemerhatian pada tubuh si mati dapati tiada unsur jenayah, tiada kesan kecederaan luaran lain di kesan pada mana-mana bahagian tubuh badan mangsa,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Azli berkata, menurut anak mangsa, bapanya yang telah keluar rumah pada jam 10 malam Sabtu lalu.
Susulan itu isteri mangsa telah membuat laporan kehilangan suaminya pada Ahad lalu kerana mangsa tidak pulang ke rumah.
“Mengikut maklumat yang diperoleh dari isterinya mangsa adalah bekerja sebagai penjual ikan dan dalam masa terdekat dia tidak lagi menjual ikan kerana penyakit pelupa dan menghadapi penyakit kencing manis,” tambahnya.
Beliau juga menghidap penyakit jantung dan pernah mendapat rawatan di Institut Jantung Negara Kuala Lumpur sebelum ini. – MalaysiaGazette