KUANTAN- Persoalan seorang penuntut tidak pulang semalaman akhirnya terjawab apabila keluarga menemukan mayat seorang ahli keluarganya di kawasan perumahan Bukit Kuantan hari ini.
Ketua Polis Kuantan, Asisten Komisioner Wan Mohd Zahari Wan Busu berkata, mangsa, Muhammad Amir Firdaus Mohd Asri, 20, meninggal dunia di lokasi nahas kemalangan dipercayai terbabas sendiri.
Difahamkan mangsa merupakan seorang penuntut dan tinggal bersama keluarga di kawasan Bukit Istana dalam perjalanan pulang ketika insiden berlaku.
“Mangsa dijumpa di hadapan rumah jiran di kawasan lorong perumahan mangsa sendiri, selang beberapa rumah jiran dan rumah keluarga arwah.
“Pada 7.30 pagi ini, keluarga mangsa telah keluar mencari mangsa kerana tidak pulang ke rumah dan gagal dihubungi dari malam tadi lebih selepas pukul 10 malam.
“Keluarga mangsa menjumpai mangsa dan motosikal di hadapan perumahan Bukit Istana, Indera Mahkota dalam keadaan tidak sedarkan diri dipercayai terlibat dalam kemalangan jalan raya,” katanya ketika dihubungi MalaysiaGazette.
Menurutnya, hasil siasatan awal mendapati, mangsa dari arah Bandar Kuantan menghala ke arah Bukit Istana pada kejadian 10 malam tadi.
Apabila perjalanan sampai di tempat kejadian, ketika mangsa sedang bergerak melalui selekoh ke kanan tiba-tiba motosikal mangsa hilang kawalan dan terbabas masuk ke dalam longkang sebelah kiri jalan.
Mayat mangsa dihantar ke Unit Forensik Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) untuk proses bedah siasat.
Wan Zahari berkata kes masih dalam siasatan lanjut di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan APJ 1987. – MalaysiaGazette