Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Tengku Ampuan Pahang Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah berkenan berangkat ke Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri di Lurah Semantan, Temerloh hari ini

TEMERLOH – Seorang wanita warga emas berbangsa Cina teruja apabila dapat bersua muka kali pertama bersama Sultan Pahang meskipun umurnya sudah mencecah 80 tahun.

Tee Sok Ha berasal dari Temerloh menyifatkan baginda sebagai seorang raja berjiwa rakyat untuk semua kaum mengambil peluang menghadiri Majlis Sambutan Aidilfitri di Lurah Semantan di sini hari ini.

Tee Sok Ha

“Tuanku sangat baik, baru satu kali tengok dekat-dekat. Tuanku banyak ketawa dan senyum, tadi dapat RM5, ini dapat lagi RM200 banyak.

“Saya banyak seronok dapat angpau raya, dapat juga jumpa dia. Anak dia pun banyak baik, tanya khabar saya,” katanya sambil menunjukkan sampul kuning diterimanya. 

Shreekogilani Nandarajan

Seorang pelajar, Shreekogilani Nandarajan,15, pula mengambil peluang cuti umum untuk meraikan hari raya dengan menghadiri majlis tersebut untuk melihat secara dekat pasangan diraja itu.

Pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kerdau itu teruja melihat keramahan Al-Sultan Abdullah bersama rakyat selain mendengar sendiri baginda menyanyi.

“Gembira hari ini datang dan  tengok jamuan, inilah perpaduan, dulu kenal sultan tengok gambar  tapi ini dapat tengok depan mata.

“Sultan kita yang baik dan sporting, sedap nyanyi. Saya India tapi dapat raya dengan kawan Melayu, semangatlah kita raya sama-sama,” katanya ketika ditemui.

Aisyah Bedullah

Bagi Aisyah Bedullah, 30, dia gigih memandu sendirian dan beraya bersama dua anak perempuan di majlis berkenaan kerana suaminya bekerja namun sedikit sebanyak mengubat kerinduan keluarganya di Kelantan.

Beliau berasal dari negeri Cik Siti Wan Kembang itu sudah tujuh tahun menetap di Bera bersyukur dapat menyertai acara besar-besaran itu dengan menikmati pelbagai sajian menu raya pada tahun ini.

Teh Siam Poh, 63, hampir menitiskan air mata apabila melihat Al-Sultan Abdullah dan keluarga diraja itu menyantuni rakyat sempena Syawal ini.

Teh Siam Poh

“Sejak lahir ini kali pertama jumpa, memang syok tuanku, terharu tengok, tak pernah jumpa selama ini, untung raya kali ini.

“Ini betul-betul muhibah, teruja bila tahu minggu lepas ada keduri raya sini (Temerloh), memang niat nak datang, ” katanya. 

Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Tengku Ampuan Pahang Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah berkenan berangkat ke Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri di Lurah Semantan, Temerloh yang dihadiri hampir 15,000 tetamu hari ini. 

Selain menyantuni tetamu, baginda berdua dan keluarga berkenan mendendangkan tiga buah lagu buat rakyat jelata.

Majlis santapan sempena Majlis Sambutan Aidilfitri di Lurah Semantan, Temerloh hari ini

Hadir mengiringi baginda, Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast