KUALA LUMPUR – Wanita yang menjadi sasaran untuk ditembak oleh suaminya di Balai Ketibaan Terminal 1, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur enggan membuat sebarang kenyataan buat masa ini.

Menerusi hantaran di Facebook yang menggunakan akaun Farah Cie, beliau berkata, keputusan itu selepas menerima nasihat daripada pihak peguam.

Beliau berkata, suaminya yang merupakan suspek dalam insiden tersebut masih dalam buruan polis.

Oleh itu, beliau meminta orang ramai merujuk setiap kenyataan pihak polis yang sahih berhubung kejadian tersebut.

Dalam kejadian awal pagi tadi, suspek telah melepaskan dua tembakan ke arah wanita ini yang sedang menanti ketibaan kumpulan jemaah umrah.

Artikel berkaitan: Pengawal peribadi parah ditembak di Balai Ketibaan KLIA

Suspek cuba tembak isteri diminta serah diri segera

Suspek mahu tembak isteri ada tiga jenayah lampau

PDRM Ketatkan Kawalan Keselamatan di KLIA 1

Peluru pertama tersasar, tetapi peluru kedua terkena perut pengawal peribadi isteri suspek dan kini dirawat di Hospital Cyeberjaya.

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, suspek melarikan diri sejurus kejadian berkenaan.

Motif kejadian masih dalam siasatan dan polis mengklasifikasikan sebagai kes cuban membunuh di bawah Seksyen 307 Kanun Keseksaan dan Akta Senjata Api. – MalaysiaGazette