Anwar Ibrahim

SHAH ALAM – Kerajaan akan mengadakan mesyuarat khas berhubung konflik Timur Tengah yang melibatkan rejim Israel dan negara Iran petang ini, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Ketegangan dan peperangan yang sekarang berlaku di antara Iran dan Israel yang berpunca dari serangan zionis Israel ke atas kedutaan Iran yang sebenarnya melanggar peraturan undang undang antarabangsa. Pelanggaran selalunya mengundang tindak balas.

“Jadi saya akan adakan mesyuarat khas sekarang yang mana petang ini berbincang dengan beberapa menteri dan pegawai-pegawai berkenaan untuk merangka apa langkah segera yang patut kita ambil untuk meredakan keadaan, tapi sikap kita di peringkat antarabangsa tentulah menuntut supaya dapat menjamin penyelesaian kedamaian di Timur Tengah,” katanya ketika ditemui media di Shah Alam hari ini.

Beliau menghadiri sambutan hari kelahiran Dr Ambedkar ke 133 di Pusat Konvensyen Ideal (PICC), hari ini.

Ditanya sama ada mesyuarat berkenaan akan turut membincangkan langkah untuk membawa pulang rakyat Malaysia di Iran, Anwar berkata perkara itu akan turut dibincangkan.

“Kita akan adakan mesyuarat,” katanya.

Wisma Putra hari ini mengeluarkan kenyataan bahawa pihaknya sedang memantau perkembangan di Timur Tengah susulan ketegangan di antara Iran dan Israel pada 14 April 2024.

Disebabkan situasi yang semakin tegang, beberapa negara, termasuk Iran, Jordan, Lebanon dan Iraq, telah menutup ruang udara mereka.

Semalam, Kor Pengawal Revolusi Iran mengumumkan mereka melancarkan puluhan dron dan peluru berpandu, menyasarkan tapak tentera di wilayah Israel.

Berikutan serangan itu, tentera Israel mendakwa pihaknya menembak 99 peratus dron dan peluru berpandu dengan bantuan Amerika Syarikat dan sekutu lain.

Iran menganggap serangan dron dan peluru berpandu ke atas Israel adalah sebagai ‘selesai’, sambil memberi amaran kepada rejim Zionis supaya tidak bertindak balas.

Tindakan balas itu dilakukan Tehran berikutan serangan maut Israel terhadap bangunan konsulat Iran di Damsyik. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast