Pelajar dari Kolej Islam Sultan Alam Shah tekun membaca ayat suci Al-Quran pada Hari Nuzul Quran ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Masjid Diraja Sultan Suleiman, Klang. Foto MOHD ADZLAN, 28 MAC 2024.

DATUK Seri Anwar Ibrahim, dalam lawatan sulungnya ke Arab Saudi pada Mac 2023 yang lalu telah membangkitkan isu Islamophobia yang perlu ditangani sebelum ia menjadi tidak terkawal dan menegaskan bahawa pada masa ini isu Islamophobia berada pada tahap yang berbahaya. Sentimen anti-Islam dan anti-Muslim adalah di luar kewarasan, lebih-lebih lagi ia dicetuskan oleh sesetengah pihak tidak bertanggungjawab di Barat.

Islamophobia atau rasa fobia atau kebencian terhadap Islam terbina melalui pembentukan persepsi berdasarkan kepada fakta yang tidak tepat atau kurang lengkap. Di tambah pula dengan propaganda yang bertujuan memburukkan imej Islam. Hal ini menjadi lebih buruk dengan tindakan dan sikap segelintir umat Islam yang dikaitkan dengan ekstremisme dan terrorisme sehingga meningkatkan persepsi negatif terhadap Islam.

Menangani Islamophobia perlu kepada keazaman pada setiap peringkat. Persepsi yang salah ini perlu dibetulkan segera. Sebelum kita pergi lebih jauh, antara perkara penting yang perlu dilihat ialah tentang sebab musabab berlakunya masalah ini. Menurut Senator Dr. Zulkifli HasanTimbalan, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), antara sebab berlakunya Islamophobia ini ialah penghijrahan orang Islam ke negara majoriti bukan Islam seperti di Eropah, kurangnya pengetahuan orang bukan Islam tentang Islam, sikap ekstrem dan ganas segelintir umat Islam, pengaruh media yang sengaja memburukkan imej Islam, dan kemajuan sains dan teknologi yang dicapai oleh negara Islam seperti Iran dan Turki.

Dalam konteks Malaysia terdapat dua faktor utama yang menyebabkan berlakunya Islamophobia iaitu kurangnya kefahaman masyarakat bukan Islam tentang Islam dan sikap kurang toleran segelintir masyarakat Islam. Tidak dapat dinafikan bahawa masyarakat bukan Islam di negara ini kurang mendapat maklumat tentang ajaran Islam walaupun mereka tinggal di negara yang majoritinya adalah masyarakat Islam.

Hal ini kerana mereka tidak bertanya dan masyarakat Islam pula tidak berkongsi maklumat tentang agama mereka. Perbualan mereka hanya berkisar tentang kehidupan seharian dan tidak menyentuh soal agama. Tambahan pula segelintir masyarakat Islam agak prejudis terhadap masyarakat bukan Islam. Misalnya dalam isu Howard Lee Chuan How membaca terjemahan ayat al-Quran pada 2023.

Beliau telah dituduh menghina agama Islam. Hal ini menyebabkan Islam itu menjadi sesuatu yang asing dan tidak boleh disentuh oleh masyarakat bukan Islam di negara ini. Selain itu, sikap kurang toleran masyarakat Islam juga menjadi sebab Islamophobia dalam kalangan masyarakat bukan Islam. Misalnya dalam isu bantahan sekumpulan penduduk Kampung Medan terhadap pemasangan lambang salib di sebuah gereja di Kampung Medan, Selangor, pada April 2015. Pastinya tindakan ini akan menimbulkan persepsi negatif terhadap Islam.

Justeru, terdapat dua perkara yang mesti dilakukan untuk menangani Islamophobia di Malaysia iaitu menyediakan ruang yang luas kepada masyarakat bukan Islam untuk mereka mengenali Islam, dan mengajak masyarakat Islam untuk bersikap lebih toleran. Antara usaha yang perlu dibuat ialah dengan memperbanyakkan sesi dialog antara ilmuan Islam dan ilmuan dari agama-agama lain. Antara program dialog yang pernah diadakan ialah “The Muslim Confucianism Dialogue” pada 1995, seminar “Islam, Japan and West” pada 1996, dan “The Malaysian Civilizational Congress” pada 2001. Program seperti ini dapat meningkatkan kefahaman masyarakat tentang agama dan budaya mereka dan rakan-rakan mereka, mengurangkan prejudis dan meningkatkan toleransi dalam kalangan masyarakat.

Program dialog juga perlu merangkumi “inter religion” dan “intra religion” iaitu dialog yang bersifat antara agama dan dialog dalam kalangan penganut agama yang sama. Dalam konteks Malaysia dialog dalam kalangan umat Islam amat diperlukan agar mereka saling memahami dan bertoleransi antara satu sama lain sekiranya terdapat perbezaan pandangan dalam kalangan mereka. Kita tidak boleh lupa tentang tragedi Memali pada 19 November1985, yang telah mengorbankan 14 penduduk kampung dan empat anggota keselamatan. Juga isu “sembahyang dua imam” dan isu kafir-mengkafir sesama umat Islam pada 1980an dahulu.

Peristiwa seperti ini sudah tentu akan menimbulkan persepsi negatif terhadap Islam dan meningkatkan Islamophobia dalam kalangan bukan Islam. Peristiwa seperti ini dapat dielakkan menerusi dialog kerana ia dapat membentuk sifat toleran dalam masyarakat. Perlu dijelaskan di sini bahawa toleran bukan bererti ada pihak yang kalah dan ada pihak yang menang. Sebaliknya toleran adalah sikap saling menghormati antara satu
sama lain. Manusia adalah makhluk tuhan yang sangat dinamik. Mereka mempunyai cara berfikir yang berbeza antara satu dengan lain. Perbezaan dalam berfikir dan memahami sesuatu perkara memang sentiasa wujud dan tidak mungkin dapat dihalang. Menurut Dr. Yusuf al-Qaradawi, adalah tidak wajar bagi umat Islam memaksakan apa yang mereka yakini dan percayai ke atas orang lain. Keadaan ini akan menjurus kepada sikap fanatik dan taksub yang membawa kesan yang sangat negatif dalam masyarakat.

Malaysia sebagai sebuah negara umat Islam perlu menjadi model dalam mengurus Islamophobia menerusi pentadbiran negara yang adil dan inklusif. “Hormat” sebagai salah satu daripada nilai teras Madani yang menjadi kerangka dasar falsafah kerajaan Malaysia hari ini diyakini dapat memacu usaha ke arah membina masyarakat yang berpegang teguh kepada budi bahasa dan kekayaan tradisi, merayakan kemajmukan dan meraikan perbezaan pandangan dunia. Mesej keamanan dan kedamaian perlu sentiasa disebarluaskan sehingga masyarakat dunia sedar tentang kesejahteraan yang dibawa oleh Islam. Warkah Saidina Ali R.A kepada Malik Ashtar perlu diangkat di tengah masyarakat agar mesej keinsanan, kesejahteraan dan keadilan Islam tersebar ke seluruh alam. Oleh sebab itu persepsi yang mengaitkan Islam dengan keganasan adalah tidak benar, dan api Islamophobia yang berasaskan prejudis perlu dipadamkan.

Prof. Madya Dr. Abd Hakim Mohad
Pusat Pengajian Teras
Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan
Universiti Sains Islam Malaysia