KUANTAN – Hari Raya Aidilfitri diraikan dengan penuh kasih kasih trermasuk kepada anak- anak yatim serta penghuni rumah kebajikan di Rumah Kanak-Kanak Sultanah Hajjah Kalsom (RKKSHK) di Penor dekat sini.
Menerusi kenyataan Facebook Kesultanan Pahang, anak-anak RKKSHK menerima keberangkatan Tengku Ampuan Pahang Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah Almarhum Sultan Iskandar Al-Haj semalam.
Lebih istimewa kunjungan tersebut apabila baginda mengurniakan makanan segera seperti ayam goreng dan menyediakan bubur ayam khas dari dapur istana untuk penghuni rumah kebajikan berkenaan.
“Paduka Baginda turut dipersembahkan taklimat ringkas mengenai aktiviti dan keperluan rumah kebajikan tersebut.
“Sebelum berangkat pulang, Paduka Baginda yang diiringi paduka anakanda dan cucunda sempat meluangkan masa menyantuni dan mengurniakan sumbangan hari raya kepada semua,” katanya.
Turut berangkat mengiringi baginda Cik Puan Panglima Puteri Suraiya Afzan Datuk Indera Mohamed Moiz.
Hadir sama, Exco Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Wanita dan Kebajikan Pahang, Datuk Sabariah Saidan dan Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat Pahang, Khairul Amri Ahmad. – MalaysiaGazette