KOTA BHARU – Suspek lelaki yang melepaskan tembakan di Balai Ketibaan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 1 awal pagi Ahad lepas sebelum ditahan di Kota Bharu semalam, dipercayai cuba meloloskan diri melalui sempadan negara.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata, ia berdasarkan rekod perjalanan suspek yang sering ke luar negara, selain memiliki pasport serta sejumlah mata wang asing Riyal dan Baht.
Bercakap pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kelantan hari ini, beliau berkata, polis juga sedang memperhalusi kaedah digunakan suspek dipercayai untuk melarikan diri ke luar negara.
“Rekod perjalanan yang kita kaji sebelum ini memang suspek kerap ke luar negara seperti ke Arab Saudi dan Thailand sebelum masuk ke Malaysia.
“… ya, memang wujud usaha suspek untuk melarikan diri melalui sempadan negara dan kita masih mengumpul maklumat itu,” katanya.
Mengulas mengenai sama ada suspek ada membuat permohonan visa untuk ke luar negara, Mohd Shuhaily berkata perkara itu masih disiasat. – BERNAMA