Menteri Pengangkutan Anthony Loke bercakap kepada media selepas lawatan kerja sempena pelaksanaan inisiatif sistem latihan dan pengujian memandu secara elektronik (eTESTING) di Institut Memandu Surfine Hitach, Selangor. Foto WAN NABIL NASIR, 05 MAC 2024.

PUTRAJAYA – Menteri Pengangkutan, Anthony Loke memberi jaminan semua kakitangan Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS) akan menerima bantuan khas Aidilfitri.

Beliau menegaskan, bantuan khas tersebut merupakan hak semua penjawat awam seperti yang diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Kita akan ambil tindakan. Bantuan khas itu memang kepada semua penjawat awam. Akan dibayar,” katanya ringkas dalam sidang media di pejabatnya hari ini.

MalaysiaGazette hari ini melaporkan 200 kakitangan MIROS kecewa kerana bantuan khas Aidilfitri yang diumumkan oleh Perdana Menteri masih belum diterima walaupun perayaan tersebut sudah lapan hari berlalu.

Menurutnya sumber, pihak pengurusan MIROS menghantar email pada tarikh yang sama untuk memaklumkan kepada 200 kakitangannya bahawa mereka menunggu keputusan Ahli Lembaga Pengarah (ALP) MIROS sebelum membuat pembayaran

“E mel tersebut menyebut bahawa tarikh pembayaran “adalah ditangguhkan dan tertakluk kepada kelulusan dan penerimaan pakai oleh Lembaga Pengarah MIROS.

“Bagaimanapun pihak pengurusan MIROS tidak memaklumkan bilakah ALP akan bersidang.

“Sekarang sudah pun hampir dua minggu daripada tarikh pembayaran dan kakitangan MIROS masih tertunggu-tunggu,” kata sumber itu lagi.

Katanya, sepatutnya pembayaran tersebut adalah wajib kepada semua penjawat awam pada tarikh yang diarahkan oleh kerajaan dan bukannya bergantung kepada keputusan ALP oleh mana-mana agensi.

Perdana Menteri sebelum ini telah mengumumkan bantuan khas berjumlah RM500 untuk diagihkan kepada setiap penjawat awam daripada Gred 56 ke bawah pada awal bulan ini.

Bantuan khas bertujuan mengurangkan bebanan lebih 1.5 juta penjawat awam sempena dengan Hari Raya Aidilfitri ini telah diumumkan pembayarannya pada 5 April 2024.

Satu surat Pekeliling Kerajaan mengenai pembayaran telah diedarkan kepada semua kementerian, jabatan dan agensi kerajaan yang ditandatangani oleh Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Dato’ Seri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz bertarikh 1 April 2024. – MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Kakitangan MIROS kecewa masih belum dapat bantuan khas Aidilfitri