ABU DHABI – Berikutan keadaan cuaca buruk termasuk hujan lebat di Abu Dhabi pada Rabu, beberapa penerbangan Etihad Airways mungkin menghadapi kelewatan, lapor Agensi Berita Emirates (WAM).

“Pelanggan dinasihatkan untuk sentiasa memeriksa etihad.com untuk maklumat terkini mengenai pelepasan penerbangan mereka dan keluar awal untuk perjalanan ke lapangan terbang,” menurut syarikat penerbangan itu.

“Etihad akan bekerjasama rapat dengan pelanggan yang terjejas oleh sebarang gangguan untuk membantu mereka dengan perubahan jadual perjalanan dan membantu mereka sampai ke destinasi terakhir.

“Keselamatan dan keselesaan pelanggan dan anak kapal adalah keutamaan kami dan kami menyesali sebarang kesulitan yang timbul,” kata syarikat penerbangan itu dalam kenyataan.

Terdahulu, WAM melaporkan bahawa disebabkan keadaan cuaca buruk, beberapa penerbangan Emirates ke dan dari Lapangan Terbang Antarabangsa Dubai (DXB) mengalami kelewatan atau gangguan, menurut kemas kini yang diterbitkan oleh syarikat itu di akaun rasmi X.

Untuk menyemak status penerbangan yang akan datang, penumpang dinasihatkan untuk melayari https://emirat.es/flightstatus. Untuk bantuan dengan tempahan sedia ada, mereka boleh layari https://emirat.es/support.

“Kami sedang berusaha bersungguh-sungguh untuk membawa semua penumpang yang terjejas ke destinasi terakhir mereka dengan selamat dan akan memberikan kemas kini secepat mungkin,” kata syarikat penerbangan itu.

Dalam perkembangan berkaitan, jurucakap Flydubai berkata keadaan cuaca buruk di seluruh UAE pada Selasa telah menyebabkan gangguan ketara terhadap operasi syarikat penerbangan di DXB.

“Akibatnya, banyak penerbangan flydubai telah dibatalkan atau mengalami kelewatan. Keadaan cuaca buruk dijangka berterusan sepanjang malam dan sehingga Rabu (17 April).”

“Kami akan terus memantau keadaan dengan teliti dan mengemas kini jadual kami dengan sewajarnya. Pendekatan ini akan membolehkan kami memulihkan kesinambungan operasi dengan lebih cekap dan menampung penerbangan yang tiba dari seluruh rangkaian jika boleh,” kata jurucakap itu.

Penumpang yang membuat tempahan dan telah dibatalkan akan ditawarkan bayaran balik penuh. – BERNAMA-WAM

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast