Sabariah Saidan

KUANTAN – Masyarakat diminta menghormati kedudukan wanita dengan tidak mengeksploitasi golongon itu walau apa jua statusnya termasuk janda.

Exco Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Wanita Dan Keluarga Pahang, Datuk Sabariah Saidan menegaskan, maruah wanita perlu dilindungi selaras dalam konteks Islam.

Demikian reaksi beliau ketika diminta mengulas insiden penganjuran fashion show janda yang dicadangkan diadakan dalam sebuah majlis rumah terbuka Syawal ini namun sudah pun dibatalkan.

“Alhamdulillah ada kesedaran, bagus tak jadi majlis sebegitu. Alahai, janda sendiri jangan beri ruang dan peluang kepada pihak yang ingin mengambil kesempatan, kenalah jaga maruah wanita.

“Kenapa pertandingan itu kena label janda? Apa tujuan buat pertandingan sebegitu? Adakah sebagai daya penarik? Ada beza ke antara pakaian janda, isteri, anak dara orang dengan wanita lain?

“Jangan merendahkan kedudukan wanita waima status apapun. Janganlah berfikiran buruk kepada golongan janda atau wanita, tak senonoh betul,” kata Ahli Dewan Undangan Negeri Guai itu kepada MalaysiaGazette hari ini.

Dalam konteks Islam, menurut Sabariah, kemuliaan darjat seseorang wanita sudah banyak diceritakan dalam al-Quran seperti dalam Surah An-Nisa dan Surah Al-Hujurat.

Tegasnya, masyarakat tidak seharusnya ada stigma kepada golongan berstatus janda sebaliknya membantu semua golongan wanita dan meningkatkan taraf mereka daripada segi pendidikan, sosioekonomi dan moral.

Selain berperanan penting dalam mengendalikan rumahtangga, wanita merupakan insan mendidik keluarga termasuk mereka bergelar ibu tunggal.

Justeru tegasnya semua pihak perlu menghormati golongan Hawa di mana setiap insan di dunia ini dilahirkan oleh seorang bergelar wanita.

“Ingat, tangan yang menghayun buaian mampu menggoncangkan dunia. Syurga terletak di bawah kaki ibu. Wanita bukanlah untuk dieksploitasikan tetapi untuk dimuliakan.

“Apa sahaja acara untuk wanita perlu dilakukan dengan cara memartabatkan kedudukan wanita,” tambahnya.

Semalam MalaysiaGazette melaporkan sebuah penganjuran pertandingan Pakaian Beragam Janda-janda Daerah Temerloh yang akan diadakan pada 21 April depan di Mentakab, Temerloh terbatal selepas sebuah poster tular di media sosial. -MalaysiaGazette

ARITIKEL BERKAITAN:

Selepas poster tular, penganjur batal Fashion Show Janda Temerloh