Keadaan mangsa pekerja kilang yang terjatih ke dalam bancuhan simen dalam kejadian di Jalan Tok Janggut dekat Sri Andalas, Klang, hari ini. Foto: Ihsan JBPM

KUALA LUMPUR – Seorang pekerja kilang simen maut selepas terjatuh ke dalam bancuhan simen yang sedang diproses dalam kejadian di Jalan Tok Janggut dekat Sri Andalas, Klang, hari ini.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat memaklumkan, pihaknya menerima panggilan daripada orang awam berhubung kejadian pukul 12.55 tengahari.

Katanya, seramai empat anggota digegaskan ke lokasi kejadian bagi menghulurkan bantuan

“Sejurus tiba di lokasi, komander operasi diberitahu terdapat seorang lelaki berbangsa India yang merupakan pekerja kilang telah terjatuh ke dalam Dround Tank,” katanya dalam kenyataan.

Mangsa berusia lingkungan 50-an itu kemudiannya dikeluarkan daripada bancuhan simen yang masih basah.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner, Mohd Iqbal Ibrahim berkata, mayat berkenaan dijumpai dalam mesin pembancuh simen di kilang membuat batu blok AAC Producys Sdn Bhd di Seksyen 35, Shah Alam.

Menurutnya, pemeriksaan oleh forensik mendapati tangan sebelah kanan dari paras siku dan kepala mangsa terputus.

“Tiada kesan pergelutan dan lain-lain kecederaan pada tubuh simati.

“Simati dipercayai terjatuh sendiri ke dalam tangki bancuhan simen dan terkena bilah pembancuh,” katanya.

Identiti mangsa telah dikenalpasti oleh waris melalui pengecaman tatoo pada lengan sebelah kiri. – MalaysiaGazette