Rafizi Ramli

KUALA LUMPUR – Pempengaruh media sosial, Lim Sian See menagih janji daripada Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli mengenai jemputan untuknya hadir dalam program podcast ‘Yang Bakar Menteri’.

Beliau berkata, Rafizi telah berjanji untuk menjemputnya sebagai tetamu selepas bulan Ramadan bagi membincangkan pelbagai isu berkaitan ekonomi dan negara.

“Ramadan 2024 dah lepas. Bila mahu podcast seperti dijanji?” soal Sian See di media sosialnya.

Pada Mac lalu, Rafizi membidas Sian See yang mempersoalkan mengapa beliu ‘bertangguh’ dalam menetapkan pertemuan podcast antara mereka.

“Lim Sian See ni ada sedikit entitlement. (Dia ingat) dialah manusia paling penting dalam dunia ni, sebab dia orang penting kem Najib (Razak) dulu.

“Saya baru dua minggu spinal operation pun tak penting, asal kena layan dia sebab dialah orang paling penting dalam dunia ni,” sindir Rafizi dalam catatan di platform media sosial X.

Dalam catatan tersebut, beliau meminta Sian See menunggu sehingga Ramadan tamat kerana bulan berkenaan dipenuhi oleh umat Islam untuk beribadat.

“MC (cuti sakit) saya selepas spinal operation sehingga 1 Mac. Minggu ni banyak benda nak catch up. Minggu depan dah Ramadan – waktu malam orang solat tarawih, bukan berpodcast dengan Lim Sean See.

“Tunggulah lepas Ramadan dan lepas urusan-urusan lain yang lebih mendesak,” tambah Rafizi.

Sian See dipercayai nama samaran yang digunakan di media sosial oleh individu yang merupakan sebahagian daripada ahli komunikasi strategik Barisan nasional ketika Najib menjadi Perdana Menteri menjelang pilihan raya umum 2018.

Beliau sebelum ini berkali-kali mencabar Rafizi untuk menjemputnya sebagai tetamu dalam program yang dikendaikan oleh Menteri Ekonomi terbabit.

Bagaimanapun, Rafizi berkata, dia perlu mendapatkan pandangan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi terlebih dahulu sebelum meneruskan idea itu.

“Saya terbuka untuk bertemu dengan mereka (kem Najib) secara bersemuka di podcast selepas saya menerima maklum balas daripada Anwar dan Zahid. Saya menghormati pandangan mereka (PM dan TPM) demi menjaga integriti kerajaan Madani.

“Jika mereka (Anwar dan Zahid) tidak ada sebarang bantahan, saya berbesar hati untuk mendedahkan wajah sebenar watak yang menjalankan kempen propaganda mempertahankan 1MDB selama ini, yang berselindung di sebalik nama Lim Sian See,” katanya.- MalaysiaGazette