batik air
Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Syarikat penerbangan, Batik Air membatalkan beberapa penerbangan antara Kuala Lumpur dengan Sabah dan Sarawak hari ini susulan letusan Gunung Ruang di Indonesia.

Menurut kenyataan Batik Air, penerbangan yang dibatalkan dari Kuala Lumpur ke Sabah dan Sarawak ialah OD1002, OD1006, OD1632, OD1636, OD1900 dan OD1906.

“Bagi penerbangan dari Sabah ke Kuala Lumpur pula, tiga penerbangan dibatalkan iaitu OD1003, OD1007 dan OD1901.

“Untuk Sarawak pula, penerbangan daripada Kuching dan Sibu ialah OD1633, OD1637 dan OD1907,” katanya.

Gunung berapi yang terletak di Pulau Ruang, kira-kira 100 kilometer dari ibu kota wilayah Manado, meletus lebih tiga kali sejak semalam.

Menurut Batik Air, ia akan memantau perkembangan terkini dan maklumat lanjut mengenai pembatalan penerbangan akan dikemas kini dan dimaklumkan terus kepada penumpang yang terjejas.

Syarikat itu berkata, dalam usaha membantu penumpang yang terjejas, penerbangan alternatif akan ditawarkan sebaik sahaja keadaan bertambah baik. – MalaysiaGazette