Sazali menunjukkan rampasan arak yang berjaya dirampas dalam operasi Isnin lalu.

JOHOR BAHRU – Cubaan tiga lelaki yang membawa muatan penuh berisi arak tidak bercukai dalam kenderaan berjaya dihidu pihak berkuasa apabila mereka ditahan di Lebuh Raya Iskandar Puteri dan Jalan Utama Kampung Baru Senai pada Isnin lalu.

Timbalan Ketua Pengarah Jabatan Kastam Diraja Malaysia (Penguatkuasaan dan Pematuhan), Datuk Sazali Mohamed berkata, dalam serbuan pukul 10 malam itu, pihaknya mengejar tiga kenderaan jenis Toyota Estima.

“Hasil pemeriksaan mendapati kesemua kenderaan tersebut membawa muatan minuman keras yang ditutup menggunakan kain hitam.

“Dua pemandu kenderaan iaitu lelaki tempatan berusia 20 dan 30- an berjaya ditahan namun seorang lagi pemandu lagi berjaya melarikan diri,” katanya dalam sidang hari ini.

Sazali berkata, hasil semakan, sebanyak 14,400 tin minuman keras disita dengan nilaian RM38,410 manakala anggaran cukai terlibat berjumlah RM104,915.

“Turut disita ketiga-tiga kenderaan pelbagai guna (MPV) dengan anggaran nilai RM150,000.

“Pihak kami turut mendapati kenderaan yang digunakan juga menggunakan nombor pendaftaran palsu,” katanya.

Hasil siasatan mendapati sindiket itu juga menggunakan kenderaan persendirian dan aktiviti dilakukan pada waktu malam.

Dua lelaki yang ditahan di bawah Seksyen 116 (5) Akta Kastam 1967 dengan wang jaminan berjumlah RM10,000 setiap individu.

“Usaha mengesan pemilik kenderaan turut giat dilakukan,” katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 135 (1) (e) Akta Kastam 1967.-MalaysiaGazette