Ahli keluarga serta orang ramai memberikan penghormatan terakhir kepada bekas Ketua Polis Negara, Allahyarham Tun Haniff Omar untuk di solatkan di Masjid Negara, Kuala Lumpur. Foto AIZAT ZAINAL, 20 APRIL 2024.

KUALA LUMPUR – Tiada sebarang perbincangan dilakukan oleh pihak protokol dengan keluarga Allahyarham Tun Mohamed Haniff Omar berhubung pengebumian bekas Ketua Polis Negara pada Sabtu lalu.

Anak Allahyarham, Kapt (B) Abdul Rahmat Omar Mohamed Haniff berkata, beliau telah dimaklumkan oleh pihak polis supaya mempertimbangkan agar jenazah dibawa terus ke Masjid Negara untuk semua urusan sehingga pengebumian di Makam Pahlawan.

“Setelah berbincang dengan ibu saya, kami bersetuju.

“Ini merupakan maklumat dan komunikasi terakhir mengenai pengurusan pengebumian jenazah Allahyarham sehinggalah pengumuman dibuat oleh Imam Masjid Negara memaklumkan jenazah akan dikebumikan di Bukit Kiara,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Sebelum ini MalaysiaGazette melaporkan, lokasi pengebumian Allahyarham Tun Mohammed Hanif diubah ke Tanah Perkuburan Islam Bukit Kiara, di Damansara.

Pertukaran lokasi itu difahamkan dilakukan atas permintaan ahli keluarga Allahyarham.

Bagaimanapun, keluarga Allahyarham menafikan perkara itu.

“Kenyataan ini dibuat kerana terdapat khabar bahawa kami sekeluarga yang membuat permohonan pertukaran dan juga terdapat pihak-pihak yang sudah mula membuat andaian berbaur politik yang tidak sihat,” katanya dalam kenyataan kepada MalaysiaGazette.

Abdul Rahmat Omar turut menyertakan kronologi berhubung urusan pengebumian jenazah ayahnya.

Menurut beliau, kenyataan pertama memaklumkan pemergian Allahyarham dibuat pada pukul 3.16 pagi.

Pada pukul 6.22 pagi, beliau memaklumkan jenazah akan berada di rumah sehingga pukul 10 pagi untuk membenarkan sanak-saudara dan rakan taulan menziarah.

Beliau kemudiannya memberitahu, jenazah akan dibawa ke Masjid Al-Ikhlas, Seksyen 13, Shah Alam untuk urusan mandi, kafan dan solat  jenazah.

“Tiada maklumat pengebumian dapat diputuskan sehingga mendapat maklum balas Sekretariat PDRM dan Bahagian Kebajikan PDRM,” ujarnya.

Dalam pada itu beliau berkata, maklumat terakhir berhubung pengurusan jenazah Allahyarham pada pukul 8.40 pagi iaitu setelah jenazah disembahyangkan di Masjid Al-Ikhlas dan kemudian dibawa ke Masjid PDRM Bukit Aman untuk penghormatan terakhir serta disembahyangkan sekali lagi sebelum dibawa ke Bukit Kiara.

“Lebih kurang jam 9.45 pagi, saya dimaklumkan oleh PDRM supaya mempertimbangkan untuk jenazah dibawa terus ke Masjid Negara untuk semua urusan sehingga pengebumian di Makam Pahlawan,” katanya. – MalaysiaGazette

Lokasi pengebumian Allahyarham Tun Hanif Omar diubah ke Bukit Kiara