Neow Choo Seong
Neow Choo Seong

KUALA LUMPUR – MCA meminta semua pihak untuk menghormati pendirian parti itu untuk tidak turun berkempen bagi calon DAP dalam Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri Kuala Kubu Bharu.

Ketua Penerangan Pemuda MCA, Neow Choo Seong berkata, parti itu berpendirian tegas hanya akan turun berkempen jika calon Barisan Nasional (BN) bertanding dalam pilihan raya tersebut.

“Adakah salah MCA mempertahankan semangat BN? Telah dinyatakan dengan jelas, MCA hanya tidak turun membantu sekiranya ia bukan calon BN.

“Ini juga membuktikan MCA komited dalam usaha mengembalikan kekuatan BN khususnya di negeri Selangor. Jika bukan parti komponen sendiri yang berjuang mempertahankan BN, kita hendak mengharapkan kepada siapa lagi?” soal beliau.

Katanya, MCA akan terus bersama BN sama ada dalam kerajaan mahu pun pembangkang.

Tindakan itu merupakan satu bukti semangat setiakawan walaupun ia tidak dihargai oleh sesetengah pemimpin UMNO sehingga menggelarMCA sebagai ‘biawak hidup’.

“Kami tiada halangan sekiranya mana-mana parti mahu membantu DAP dalam berkempen kali ini.

“Sesiapa pun berhak untuk memikul bendera DAP dan mengusungnya ke mana-mana. Jika MCA hormati hak semua pihak, jadi hormati jugalah hak MCA untuk tidak berkempen, kecuali calon BN ditampilkan dalam PRK KKB kali ini,” katanya.

Sementara itu, Choo Seong meminta pihak yang mendesak MCA untuk turun berkempen memenangkan calon DAP meletakkan diri mereka dalam parti itu.

Beliau mempersoalkan sama ada pihak tersebut dapat menerima penghinaan yang dilemparkan oleh pemimpin DAP.

Menurutnya, pemimpin DAP termasuk Setiausaha Agung, Anthony Loke secara terbuka dan tidak berselindung menghina serta mengguris hati akar umbi MCA dengan pelbagai tuduhan.

“Beliau (Anthony) dengan angkuh mengatakan bahawa beliau tidak suka MCA dan melabel MCA sebagai parti tauke yang jelas merupakan fitnah berniat jahat memburuk-burukkan MCA.

“Sebelum itu, seorang lagi pemimpin berpengaruh iaitu Naib Pengerusi DAP, Teresa Kok juga secara terbuka dengan angkuh menghalau MCA keluar daripada BN.

“Tidakkah ini satu penghinaan kepada BN apabila beliau sewenang-wenangnya mengarahkan sedemikian? Sejak bila DAP berhak menentukan hala tuju BN? Ada juga yang kata calon DAP adalah calon BN. Sejak bila DAP jadi komponen BN?” tanya beliau.

Sebelum ini beberapa pemimpin dalam BN meminta MCA untuk mempertimbangkan semula pendirian untuk tidak turun berkempen dalam PRN DUN Kuala Kubu Baharu.

Kerajaan Perpaduan meletakkan calon daripada DAP dalam pilihan raya tersebut.- MalaysiaGazette