Gambar hiasan

KAJANG – Tindakan dua suspek yang telah menyimbah cecair bahan bakar sebelum membakar anak kucing di Sungai Ramal Baru di sini semalam kini diburu polis.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Mohd Zaid Hassan berkata, pada pukul 10.51 pagi, pihaknya telah menerima satu laporan dibuat oleh wanita warga emas mengenai kejadian anak kucing dibakar hidup-hidup di tapak parkir motosikal Flat Sri Kenari.

Katanya, pengadu berusia 63 tahun itu mendapat tahu mengenai kejadian itu daripada salah seorang saksi yang juga penduduk di flat berkenaan telah melihat seekor anak kucing sedang terbakar dan segera mencurahkan air dan memadamkan api pada badan haiwan malang itu.

“Saksi kemudian telah maklumkan kejadian tersebut kepada pengadu dan pengadu telah cuba mencari anak kucing tersebut di sekitar flat sebelum menjumpainya dalam keadaan lemah dan segera menghantarnya ke klinik veterinar di Ampang untuk rawatan lanjut.

“Semakan polis pada rakaman kamera litar tertutup (CCTV) mendapati kejadian berlaku semalam lebih kurang 1 petang dan tiga suspek lelaki tempatan sedang melepak di tapak letak motosikal di flat perumahan tersebut.

“Tiba-tiba dua suspek bertindak menyimbah dipercayai bahan bakar ke atas anak kucing sementara salah seorang telah menyalakan api dan ketiga-tiga mereka hanya menyaksikan anak kucing itu berlari dalam keadaan badan terbakar,” katanya dalam kenyataan malam ini.

Tambah Mohd Zaid, anak kucing itu kini ditempatkan di sebuah klinik veterinar di Ampang dan mendapati kecederaan dialami ialah kebakaran tahap dua.

Semakan lanjut polis juga mendapati anak kucing itu dianggarkan baru berusia enam minggu dan seberat 300 gram.

“Keadaan anak kucing itu kini dilaporkan agak kritikal dan perlu diletakkan di bawah pemerhatian rapi sekurang-kurangnya selama seminggu,” katanya.

Bahagian Siasatan Jenayah IPD Kajang berjaya mengenal pasti suspek-suspek yang melakukan jenayah kejam itu dan usaha memburunya telah dipergiatkan bagi membantu siasatan.

“Kertas siasatan dibuka untuk disiasat di bawah Seksyen 428 Kanun Keseksaan dimana yang boleh dihukum dengan pemenjaraan selama tempoh yang boleh sampai tiga tahun atau dengan denda atau dengan kedua-duanya jika disabitkan kesalahan,” tegasnya.

Orang ramai yang mempunyai maklumat lanjut atau melihat kejadian ini boleh berhubung dengan mana-mana balai polis berhampiran atau Pegawai Penyiasat kes, Inspektor Suresh Krishnan di talian 017- 433 3795 bagi membantu siasatan.-MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast