KUALA LUMPUR – Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menyifatkan pemergian 10 anggota Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) yang terlibat dalam nahas helikopter hari ini menyentuh hati dan perasaan rakyat Malaysia.
Beliau juga merakamkan ucapan takziah kepada keluarga mangsa dan berharap mereka diberikan kekuatan dan kesabaran dalam menghadapi ujian itu.
“Hari ini seluruh rakyat Malaysia telah dikejutkan dengan berita sedih nahas Helikopter Operasi Maritim (HOM-AW139) dan FENNEC yang terhempas semasa melakukan raptai Perbarisan Hari TLDM ke-90 di Pangkalan TLDM Lumut.
“Saya ingin menzahirkan perasaan dukacita di atas insiden yang berlaku, pastinya peristiwa ini bukan sahaja memberi kesan mendalam terhadap ahli keluarga mangsa tetapi juga turut menyentuh hati dan perasaan seluruh rakyat Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Terdahulu, media melaporkan nahas membabitkan dua helikopter itu berlaku ketika raptai Perbarisan Hari TLDM ke-90 di Pangkalan Kem TLDM, Lumut, Perak.
Kejadian tersebut berlaku pukul 9.32 pagi dan mengorbankan kesemua kru TLDM dalam helikopter berkenaan.
Ahmad Zahid juga berharap orang ramai tidak menularkan video nahas helikopter ketika kejadian demi menjaga sensitiviti keluarga serta dapat mengganggu proses penyiasatan.
“TLDM juga telah menyatakan bahawa satu lembaga siasatan akan ditubuhkan untuk mengenalpasti punca kejadian,” katanya.
Ahmad Zahid turut merakamkan penghargaan kepada kesemua kru TLDM yang terlibat dalam nahas terbabit sambil menyifatkan mereka sebagai perwira negara.
“Segala jasa, bakti dan pengorbanan yang dicurahkan untuk melindungi kedaulatan tanah air pastinya akan terus dikenang. Semoga segala urusan dipermudahkan,” katanya lagi. – MalaysiaGazette