KUALA LUMPUR – VKK Rajasekaran bukanlah asing sebaliknya sudah menempa nama ahli korporat muda di negara ini.
Berlandaskan pengalaman serta komitmennya lebih 20 tahun, beliau kini antara yang bertanding merebut jawatan Presiden dalam pemilihan Dewan Perniagaan dan Industri India Kuala Lumpur serta Selangor (KLSICCI) Ahad ini.
Bercakap kepada MalaysiaGazette, ahli perniagaan yang juga aktif dalam politik parti MUDA itu sebenarnya teruja untuk merebut jawatan nombor satu dewan perniagaan yang dianggapnya sebagai pertandingan sihat serta demokratik.
Kata VKK Raja, 45, yang juga terlibat dalam bidang perhotelan selain perniagaan tekstil milik keluarganya sudah lama berada dalam KLSICCI sejak usianya baru mencecah 25 tahun dengan pelbagai pengalaman, cabaran telah dilalui.
Malah dalam tempoh itu telah memberikannya peluang memegang pelbagai jawatan bermula dengan ahli jawatankuasa sehinggalah pada dua tahun lalu bertanding jawatan Timbalan Presiden KLSICCI pada pemilihan bagi penggal 2022-2024.
“Saya sudah bersedia untuk memikul tanggungjawab sebagai presiden penggal 2024-2026. Bukan suka-suka jawatan ini sebaliknya antara fokus utama saya adalah untuk memperkasakan dan menyatupadukan ekonomi komuniti perniagaan khasnya dalam KLSICCI yang sudah berusia lebih 96 tahun,” katanya.
Tujuan utama KLSICCI ditubuhkan untuk mengumpul semua ahli perniagaan pelbagai bidang, industri dalam kalangan kaum India tetapi berdasarkan misi meningkatkan kedayaupayaan dan kecemerlangan ekonomi.
“Jika mahu bercakap tentang perjuangan maka saya mempunyai beberapa fokus dan misi kali ini, bukan sesuatu yang retorik sebaliknya kumpulan kami akan berjuang dalam menjaga kepentingan perniagaan India Malaysia dengan membentuk dasar yang adil dan saksama, mempromosikan akses kepada pembiayaan dana sumber serta memupuk persekitaran perniagaan yang kondusif,” katanya.
Kata VKK Raja lagi, beliau bersama pasukannya mahu terus memperkasa komuniti perniagaan India ini ke peringkat lebih tinggi dengan menyediakan pelbagai latihan berkaitan, rangkaian untuk membekalkan usahawan India Malaysia dengan kemahiran selain pengetahuan untuk berkembang dalam pasaran yang kompetitif.
“Kita mempunyai wawasan untuk bina perkongsian strategik dengan agensi kerajaan, institusi pendidikan, dan komuniti perniagaan lain untuk mencipta ekosistem kolaboratif untuk kejayaan bersama termasuklah startups dalam ekosistem.
Dalam pada itu, VKK Raja juga memberitahu seandainya diberikan peluang, antara usaha penting adalah memartabatkan komuniti perniagaan wanita India selain bersama-sama organisasi perdagangan India lain seperti Dewan Perniagaan MAICCI bagi mewakili suara kolektif.
Selain itu, beliau juga mahu komited dalam cadangan pembinaan bangunan bagi rata-rata komuniti dewan ini yang datangnya dari Klang.
“Kutipan dana sudah bermula, sangat membanggakan jumlah yang dikutip tetapi ingin saya tekankan saya kekal komited dalam memastikan impian ini akhirnya menjadi realiti di bawah kepimpinan saya. Semoga ia berjaya,” ujarnya.
Untuk makluman, kali terakhir KLSICCI mengadakan pemilihan itu pada April 2022 dengan calon bertanding, Nivas Ragavan menang sebagai presiden bagi penggal 2022-2024 manakala VKK Raja dari barisan pasukan lain pula menang bergaya sebagai timbalan presiden.
VKK Raja akan bergandingan dengan pasukannya seramai 16 orang termasuk dirinya akan turut diwakili oleh calon Timbalan Presiden iaitu V Prabakaran, Naib Presiden, C Panir Selvam dan calon Bendahari pula Selvaraj Asiravatham bersama yang lain-lain dengan tema Your Voice, Our Vision. – MalaysiaGazette