KUALA LUMPUR – Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Adam Adli dicabar untuk mengecam kerajaan perpaduan yang dilihat menggunakan dana dan jentera kerajaan di Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Bharu.
Ketua Penerangan Pas Selangor, Zurk Ahmad berkata, cabaran itu diketengahkan kerana PKR sering mendokong prinsip demokrasi yang jijik dengan budaya menggunakan dana dan jentera kerajaan untuk berkempen.
“Pas Selangor ingin mengingatkan Adam Adli (Ketua AMK) bahawa budaya serang peribadi dan fitnah ini adalah budaya politik PH ketika menjadi pembangkang termasuklah dalam siri kempen politik Adam Adli di jalan raya suatu ketika dahulu yang melibatkan Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki.
“Pas Selangor juga ingin mencabar Ketua Pemuda AMK untuk memastikan demokrasi dalam negara ini terjamin dengan mengecam dan menghalang mana-mana pimpinan PH atau BN menggunakan dana atau jentera kerajaan di Kuala Kubu Bharu,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Semalam, Adam mencabar seteru politiknya agar Pemuda Pas dan Perikatan Nasional (PN) berkempen tanpa mengapi-apikan sentimen penduduk di kawasan tersebut.
Sebaliknya Adam berkata, pembangkang boleh mengkritik dasar yang dilaksanakan kerajaan serta isu ekonomi sama ada secara mikro atau makro.
Ia ekoran kenyataan Ketua Pemuda Pas dan PN, Afnan Hamimi Taib Azamuddin menjangkakan pengundi DUN Kuala Kubu Bharu akan menguburkan kerjasama BN-PH dalam PRK pada 1 Mei depan.
Afnan mendakwa PH sudah dijangkiti ‘penyakit’ bawaan BN.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan Sabtu depan sebagai tarikh penamaan calon bagi PRK DUN Kuala Kubu Bharu dan 11 Mei depan sebagai tarikh hari pengundian dan 7 April sebagai hari mengundi awal.
Pada Pilihan Raya Negeri (PRN) tahun lalu, kerusi Kuala Kubu Bharu ditandingi calon Gerakan, Teoh Kien Hong yang mewakili PN.
Bagaimanapun Teoh kalah kepada mendiang Lee Kee Hiong dengan perbezaan 4,119 undi. Lee memperoleh 14,862 undi. – MalaysiaGazette