Ramli Abd Hamid tidak dapat menahan kesedihan sebaik menunjukkan gambar Allahyarham Komander Muhammad Firdaus kepada pihak media ketika ditemui di kediamannya di Pantai Jerejak, Pulau Pinang hari ini.

GEORGE TOWN – “Alhamdulillah saya dimaklumkan jenazah Tuan Kechik (Allahyarham Muhammad Firdaus) sempurna oleh adiknya selepas melakukan pengecaman di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) semalam”.

Demikian luah Indon Hussin, 67, ibu kepada Allahyarham Komander Muhammad Firdaus Ramli, mangsa nahas pertembungan dua helikopter yang terbabit dalam latihan lintas hormat sempena sambutan Hari Ulang Tahun TLDM ke-90.

Menurut Indon, anak sulungnya yang dikenali atau mesra dengan gelaran Tuan Kechik dalam kalangan rakan-rakan serta pihak atas sangat disenangi semua orang.

Jelas ibu kepada tujuh anak itu, Allahyarham merupakan tulang belakang keluarga serta anak yang bertanggungjawab.

“Memang semua anak-anak baik tapi dia (Muhammad Firdaus) menjadi contoh kepada adik-adik lain dari segi keperibadiannya yang selalu berdisiplin serta menepati masa.

“Selepas pemergian arwah ramai sampaikan khabar kebaikannya sebelum ini malah, malam tadi ada orang datang ziarah serta memaklumkan dia terhutang budi dengan arwah kerana pernah membantu mereka dalam kesusahan sebelum ini.

“Makcik yakin kalau mak cik yang meninggal dunia sebelum dia pasti dia akan jaga adik-adik tapi tulah dia yang pergi (meninggal) dulu… Allah sayang dia tapi sedih dia tinggalkan anak yang masih kecil,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di kediamannya di Pantai Jerejak, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut Indon berkata, tiada sebarang perubahan ditunjukkan Muhammad Firdaus dan kali terakhir mereka bertemu pada Isnin lalu.

“Memang rutin kami (ibu bapa arwah) setiap bulan pergi ke rumah yang dibeli Tuan Kechik di Manjung, Perak dan terakhir Isnin lalu kami bertemu dengannya sebelum dikejutkan dengan berita pemergiannya keesokan hari,” katanya.

Ramli Abd Hamid.

Sementara itu, bapa Allahyarham, Ramli Abd Hamid tidak dapat menahan kesedihan sebaik menunjukkan gambar anaknya kepada pihak media di luar pekarangan kediaman mereka.

Jenazah Muhammad Firdaus akan dibawa terus ke masjid

Terdahulu MalaysiaGazette melaporkan, Jenazah Allahyarham Pegawai Memerintah Skuadron 503, Komander Muhammad Firdaus Ramli akan dibawa ke Masjid Jamek Sungai Nibong Besar di sini sebaik selesai urusan di Ipoh.

Adik iparnya yang mesra dengan panggilan Lina berkata, jenazah akan dibawa terus ke masjid atas permintaan keluarga. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast