Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Seorang lelaki tang memiliki sembilan rekod jenayah lampau ditembak polis selepas dia melanggar anggota polis selepas enggan memberi kerjasama selepas kenderaan yang dinaiki ditahan.

Kejadian itu berlaku berhampiran kawasan tempat letak kenderaan taman perumahan di Kota Damansara, Petaling Jaya awal pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya Asisten Komisioner Shahrulnizam Jaafar@Ismail berkata, kejadian itu berlaku kira-kira 5 pagi semasa polis menahan kenderaan suspek yang dalam keadaan mencurigakan untuk diperiksa.

“Suspek yang memandu sebuah kenderaan jenis Proton Waja telah diarahkan supaya berhenti oleh anggota polis tetapi suspek tidak mengendahkan arahan itu terus memecut kereta secara melulu.

“Lelaki itu telah melanggar anggota polis yang sedang bertugas di jalan sebelum anggota itu telah melepaskan satu das tembakan ke arah suspek,” katanya menerusi kenyataan yang dikeluarkan hari ini.

Ekoran tembakan itu, suspek itu cedera di bahagian kepala dan dikejarkan ke Hospital Sungai Buloh untuk rawatan lanjut.

Pemeriksaan lanjut mendapati kenderaan yang digunakan suspek adalah kereta curi yang pernah dilaporkan hilang di kawasan Sungai Buloh sebelum ini.

Semakan turut mendapati dia memiliki sembilan rekod jenayah lampau melibatkan kes bunuh, pecah rumah selain pernah dikenakan tindakan tahanan di bawah Akta Pencegahan Jenayah (POCA). – MalaysiaGazette