Screenshot

GEORGE TOWN – Bapa kepada Allahyarham Komander Muhammad Firdaus Ramli menyifatkan anak sulungnya sebagai wira kepada negara dan keluarga.

Ramli Abd Hamid, 68, berkata, dia dan isterinya (Indon Hussin) mengikhlaskan pemergian anak sulung daripada tujuh beradik itu.

Selain itu, beliau turut mengucapkan terima kasih kepada kerajaan dan semua pihak yang banyak membantu menguruskan segara urusan sehingga pengkebumian allahyarham.

“Saya ucapkan terima kasih kepada semua pihak yang sayangkan anak saya, dia adalah wira negara, wira kepada anak-anak di Sungai Nibong ini.

“Terima kasih juga kepada semua yang terlibat dan juga kepada pemerintah negara seperti Menteri Dalam Negeri, Menteri Pertahanan, Panglima Angkatan Tentera dan semua pihak yang terlibat.

“Saya ikhlas, demi Allah saya ikhlas pemergiannya dan dia adalah wira bagi kami..saya bangga dengannya,” katanya kepada pihak media sebaik selesai urusan pengebumian Allahyarham di tanah perkuburan Masjid Jamek Sungai Nibong Besar di sini malam tadi.

Terdahulu, jenazah Pegawai Memerintah Skuadron 503, Komander Muhammad Firdaus Ramli, 44,  yang terkorban dalam nahas dua helikopter bertembung di Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) Lumut selamat dikebumikan pukul 8.50 malam.

Jenazah allahyarham dikebumikan dengan penuh istiadat pengebumian ketenteraan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast