Alexander Lo Su Hyen

KUALA LUMPUR – Kerajaan perlu mengkaji semula dan memberi kemahiran yang secukup kepada peniaga sebelum mewajibkan sistem e-invois dalam urusan pembayaran.

Menurut Pengerusi Jawatankuasa Perhubungan Gerakan Sabah, Datuk Alexander Lo Su Hyen, sistem e-invois yang akan dikuatkuasakan pada Julai tahun depan serba sedikit memberi kesan negatif kepada peniaga terutamanya peniaga-peniaga kecil tepi jalan.

Katanya, Peniaga kecil dan sederhana (IKS) antara yang akan rasa beban dan kesusahan apabila mereka yang menjual goreng pisang di tepi jalan perlu menggunakan sistem ini.

“Apatah lagi kalau mereka yang berniaga ini adalah pasangan warga emas yang sudah sekian lama menggunakan kaedah tradisional dalam urusan jual beli,” katanya dalam satu kenyataan di sini.

Lo tidak tidak dinafikan perniagaan memerlukan perubahan ke arah digital, namun ia memerlukan masa dan kemahiran yang secukupnya. Bukannya buat keputusan dalam keadaan tergesa-gesa.

Selain itu, pelaksanaan e-invois ini akan menjadikan kos untuk memulakan perniagaan menjadi lebih tinggi dan sistem elektronik selalu mempunyai caj perkhidmatan tambahan sekali gus menjadi harga barang naik.

“Kerajaan hari ini dilihat sering kali memperkenalkan dasar-dasar yang ‘menguntung kerajaan bukannya rakyat’, mengambil cukai daripada semua rakyat tetapi memberi dan membalas balik kepada rakyat yang terpilih sahaja. Di mana keadilan di situ?,” katanya.

Beliau berkata, sekiranya pelaksanaan ini diteruskan juga, kerajaan harus memikirnya cara bagaimana untuk tidak membebankan peniaga dan pembeli, antaranya dengan menerapkan kemahiran digital atau kursus kepada IKS dan menyediakan sistem e-invois tersebut secara percuma.

Pelaksanaan e-invois diperkenal bagi meningkatkan kecekapan pentadbiran cukai, dalam masa yang sama memudahkan pembayar cukai menyimpan dan mengawasi rekod kewangan masing-masing.

Mulai Januari 2025, pelaksanaan sistem e-invois disasarkan bagi perniagaan yang mencapai nilai ambang jualan RM50 juta setahun.

Selepas setahun, pada Januari 2026 sistem itu menjadi mandatori bagi perniagaan yang mencapai nilai ambang jualan RM25 juta setahun.

Menjelang Januari 2027, pelaksanaan mandatori bagi sistem itu untuk semua perniagaan dan selepas sistem itu berjaya membabitkan perniagaan kepada peniagaan, barulah ia diperkenal bagi perniagaan kepada pelanggan, sebagai fasa terakhir pelaksanaan e-invois. – MalaysiaGazette