Jenazah mangsa nahas dua helikopter Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) pagi tadi tiba di perkarangan Jabatan Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB), di Ipoh, pada Selasa. Kesemua van yang dibawa dari Pangkalan TLDM Lumut tiba kira-kira jam 6 petang dengan diiringi kenderaan polis dan tentera. Foto ABDULLAH YUSOF, 23 APRIL 2024.

IPOH – Kesemua mangsa tragedi helikopter terhempas di Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) Lumut, semalam akan diberi penghormatan terakhir mengikut istiadat rasmi TLDM di Kem 23 Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) di sini, sebaik selesai proses bedah siasat.

Difahamkan selepas itu, jenazah dan jasad kesemua mangsa akan dibawa ke destinasi pengebumian di negeri masing-masing seperti dimohon waris.

Jenazah terdiri daripada Pegawai Waran II TNL Noorfarahimi Mohd Saedy, Bintara Muda TNL Noor Rahiza Anuar, Komander Muhammad Firdaus Ramli dan Komander Muhamad Amir Mohamad.

Jenazah empat lagi ialah Leftenan Komander Wan Rezaudeen Kamal Wan Zainal Abidin, Leftenan Komander Mohammad Amirulfaris Mohamad Marzukhi, Pegawai Waran II TLR (AQM) Muhammad Faisol Tamadun dan Pegawai Waran II TMK Mohd Shahrizan Mohd Termizi.

Sementara jasad mendiang Leftenan Sivasutan Thanjappan akan dibawa ke Kampung Serdang Sitiawan manakala Laskar Kelas I JJM Joanna Felicia Rohna akan diterbangkan ke Serian, Sarawak.

Setakat ini, proses bedah siasat ke atas kesemua mangsa masih berjalan dan dijangka selesai kira-kira 3 petang ini.

Semalam kesemua mangsa dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun Ipoh untuk proses bedah siasat.

Dalam kejadian 9.32 pagi semalam 10 anggota dan pegawai TLDM maut dalam tragedi dua helikopter terhempas ketika sedang menjalani raptai lintas hormat sempena sambutan Ulang Tahun Hari Terbuka TLDM ke-90 di Pangkalan TLDM Lumut. – BERNAMA

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast