Mohd Shuhaily Mohd Zain

KUALA LUMPUR – Polis membuka kertas siasatan terhadap pemilik akaun Twitter, Shaifuddin Shafik susulan laporan dia memberi komen jelik berhubung insiden kemalangan helikopter yang meragut 10 nyawa di Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) Lumut kelmarin.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ), Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata, siasatan dilakukan oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas, Bahagian Pendakwaan Undang-undang (D5) JSJ Bukit Aman di bawah Seksyen 14, Akta Kesalahan Kecil 1995, Seksyen 504, Kanun Keseksaan dan Seksyen 233, Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

“PDRM telah membuat rampasan satu unit telefon bimbit jenis IPhone 12 Pro yang dipercayai digunakan untuk membuat hantaran tersebut,” ujarnya dalam kenyataan hari ini.

Kertas siasatan telah dirujuk ke Pejabat Peguam Negara selari dengan perruntukan Perkara 145 (3) Perlembagaan Persekutuan.

Semalam, media melaporkan satu laporan polis dibuat terhadap suspek kerana membuat paparan jelik dan biadap menghina anggota tentera yang terkorban dalam nahas dua helikopter yang terhempas ketika menjalani raptai di ruang udara Pangkalan TLDM Lumut, Perak.

Pengamal media, Kamal Abas, 51, membuat laporan polis malam semalam di Ibu Pejabat Polis Daerah Kerian ke atas pemilik akaun X terbabit.

Katanya, perbuatan seperti itu adalah melampaui batas norma tatasusila sebagaimana yang tercatat dalam rukun negara yang kelima iaitu Kesopanan dan Kesusilaan.

Dalam pada itu, Mohd Shuhaily menasihatkan orang ramai agar tidak membuat sebarang ulasan atau spekulasi demi menjaga sensitiviti keluarga mangsa terlibat.

PDRM, tambah beliau turut mengingatkan agar semua pihak cakna dan prihatin terhadap isu-isu sensitif terutama melibatkan kegentaran awam melalui media sosial.

“Tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana pihak yang bertindak dalam apa jua cara sehingga boleh menjejaskan ketenteraman awam dan keselamatan negara,” ujarnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast