Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hadir Majlis Aidilfitri anjuran Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof di Putrajaya hari ini.

PUTRAJAYA – Kerajaan menafikan akan meluluskan lesen kedua kasino di negara iaitu di Forest City, Johor Bahru, tegas Perdana Menteri.

Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga Menteri Kewangan itu turut menjelaskan laporan oleh media antarabangsa itu sebagai tipu dan tidak betul.

“Tiada lesen kasino (di Johor), tipu tak betul,” katanya kepada media pada Majlis Madani Muhibah Aidilfitri di pekarangan Kementerian Komunikasi & Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan di sini hari ini.

Beliau mengulas laporan Bloomberg kononnya Malaysia sedang berunding dengan beberapa taikun untuk menubuhkan kasino di Forest City – projek bernilai AS$100 bilion (RM480 bilion) di Johor yang sedang berdepan kemungkinan menjadi gajah putih.

Malaysia sedang berunding dengan beberapa taikun untuk menubuhkan kasino di Forest City – projek bernilai AS$100 bilion (RM480 bilion) di Johor yang sedang berdepan kemungkinan menjadi gajah putih, lapor Bloomberg.

Portal perniagaan itu memetik sumber yang menyebut Perdana Menteri berjumpa dengan pengasas Berjaya Corp, Vincent Tan dan Lim Kok Thay dari Kumpulan Genting dalam satu mesyuarat makan tengah hari minggu lalu untuk membincangkan perkara berkenaan.

Wakil Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim serta pegawai kanan kerajaan lain juga didakwa hadir pada mesyuarat yang sama, kata laporan tersebut.

Menurut laporan itu, perbincangan mengenai projek kasino berkenaan masih dalam peringkat awal.

Forest City di Iskandar Puteri, Johor pada mulanya dirancang sebagai projek pembangunan kediaman bersepadu.

Pembinaan dimulakan pada 2006, melibatkan konsortium pemaju hartanah China.

Pemajunya, Country Garden Pacificview Sdn Bhd, adalah usaha sama antara Country Garden Group dan Esplanade Danga 88 Sdn Bhd, sebuah syarikat yang disokong kerajaan Malaysia.

Malaysia kini hanya memiliki satu kasino di Genting Highlands. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast