Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari beramah mesra bersama tetamu yang hadir pada Rumah Terbuka Aidilfitri ketika di Bandar Kuala Kubu Baharu, Hulu Selangor. Foto MOHD ADZLAN, 27 APRIL 2024.

HULU SELANGOR – Penganjuran Rumah Terbuka Aidilfitri anjuran Kerajaan Negeri Selangor, di sini, malam ini tidak mempunyai sebarang elemen kempen yang boleh dikaitkan dengan Pilihan Raya Kecil (PRK), Kuala Kubu Baharu.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, kerajaan negeri tidak menjadikan majlis itu sebagai pentas kempen, sebaliknya mahu meraikan orang ramai dengan sambutan hari raya.

“Sepanjang program ini tidak ada langsung elemen berkempen, tapi kalau orang nak datang dengan pakaian masing-masing (baju logo parti) takkan saya nak suruh tukar baju.

“Tapi, kita tak menjadikan program ini sebagai kempen, tapi purely kerajaan negeri.

“…dan dalam ucapan saya, saya alu-alukan semua untuk hadir malahan, tadi saya sempat jemput opposition (pembangkang) kalau nak hadir sama-sama pun tiada masalah.

“Ini memang program raya dan kebetulan ramai yang datang dan malam ini kita raikan mereka untuk makan malam dan juga jamuan,” katanya.

Beliau ditanya media berhubung persoalan yang dilemparkan Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (BERSIH) susulan rumah terbuka yang diadakan pada malam ini.

Semalam, Jawatankuasa Pemandu BERSIH berkata, penetapan lokasi dan masa penganjuran majlis berkenaan ketika pilihan raya sedang berjalan adalah tindakan yang tidak mengikut peraturan.

Malah, gabungan itu turut mengingatkan Kerajaan Negeri Selangor bahawa penganjuran rumah terbuka Aidilfitri itu boleh bercanggah dengan banyak peruntukan dalam Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.

Mengulas lanjut Amirudin berkata, program tersebut sememangnya telah lama dirancang untuk diadakan sejak awal Ramadan lalu.

Malah katanya, pemilihan majlis di lokasi tersebut merupakan satu tindakan kebetulan yang mana Kuala Kubu Baharu merupakan tempat pertama diadakan kunjungan Rumpun Selangor oleh Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah.

Sementara itu, ditanya mengapa salah satu acara yang telah dimasukkan didalam tentatif iaitu pemberian duit raya tidak diadakan, Amirudin yang juga Naib Presiden PKR berkata, acara itu dikeluarkan selepas mendapat nasihat bagi mengelakkan tafsiran negatif.

“Itu setelah kita dapat nasihat dan sebagainya, sebab nanti kalau orang tafsir yang bukan-bukan kita tak mahu. Jadi, kita ambil langkah berjaga-jaga selepas teguran tersebut,” ujarnya.

Dalam pada itu, Amirudin berkata, jumlah keseluruhan perbelajaan bagi mengadakan majlis berkenaan sama seperti tahun lepas.

Bagaimanapun, beliau tidak ingat berapakah jumlah sebenar perbelanjaan yang itu kerana majlis sebelum ini dipecahkan ke beberapa daerah.

“Saya tak ingat, tapi tahun lepas lebih kurang macam ini juga. Tahun lepas kita belanja semua daerah kita pecah-pecahkan. Tahun ini kita accumulate kepada satu,” ujarnya. – MalaysiaGazette