KUALA LUMPUR – Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengucapkan tahniah kepada atlet boling padang Nor Farah Ain Abdullah yang muncul juara dalam acara individu wanita pada Kejohanan Boling Padang Dalam Dewan Dunia 2024 di Guernsey, Channel Islands, Sabtu.
Ahmad Zahid berkata kejayaan atlet berusia 23 tahun itu, yang turut menyumbang pingat gangsa dalam acara pairs campuran bersama Izzat Shameer Dzulkeple pada kejohanan berkenaan, membuktikan tiada yang mustahil.
“Semoga Farah Ain akan terus cemerlang dalam sukan yang diceburi dan memberi inspirasi kepada atlet lain untuk tidak pernah mengalah dan percaya akan kemampuan diri,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.
Ahmad Zahid juga berharap Malaysia akan terus melahirkan lebih ramai atlet yang hebat dan dapat mengangkat nama negara setanding dengan negara lain di persada dunia.
Pada kejohanan itu Nor Farah Ain melakar sejarah tersendiri apabila memenangi pingat emas selepas mencipta kemenangan bergaya 6-2,6-3 ke atas Connie Rixon dari Malta pada final acara perseorangan wanita.
Pada acara pairs campuran, gandingan Nor Farah Ain dan Izzat Shameer memperoleh gangsa selepas tewas 2-9,3-11 kepada pasangan Australia Ray Pearse dan Samantha Atkinson di pentas separuh akhir. – BERNAMA