Gambar hiasan

AMPANG – Keengganan seorang penghantar barang yang berniat baik mahu membantu seorang lelaki mengangkat tong gas bertukar tragedi apabila dibelasah dan diacu pistol mainan.

Insiden berlaku di Taman Putra di sini pada Jumaat lalu, kata Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohd Azam Ismail dalam kenyataan hari ini.

Katanya, semasa kejadian pukul 3.30 petang, mangsa seorang warga tempatan berusia 36 tahun itu terserempak dengan suspek lelaki berkenaan yang hampir jatuh ketika membawa tong gas.

“Mangsa kemudian membantu lelaki itu daripada terjatuh namun suspek meminta mangsa mengambil tong gas dan meletakkannya di atas motosikalnya.

“Mangsa bagaimanapun enggan berbuat demikian dan menjelaskan dia mempunyai masalah tulang belakang.

“Bagaimanapun, suspek yang enggan menerima alasan diberikan berang dan bertindak agresif dengan mengacukan pistol mainan kepada mangsa,” katanya.

Tambah Mohd Azam, suspek juga bertindak memukul mangsa dengan topi keledar di dahi sehingga cedera.

Mangsa kemudian telah membuat laporan polis berhubung kejadian itu.

Siasatan mendapati motif kejadian adalah suspek tidak puas hati mangsa yang berstatus OKU sakit tulang belakang dan enggan menolongnya mengangkat tong gas.

“Bertindak atas aduan mangsa, sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang Jaya Berjaya membuat tangkapan ke atas suspek lelaki berusia 31 tahun di Kampung Tasik Permai Ampang pada Ahad pukul 4.20 petang disyaki terlibat dalam jenayah tersebut.

“Semakan lanjut polis mendapati suspek memiliki dua rekod jenayah lampau dan sedang direman selama empat hari bagi membantu siasatan lanjut,” ujarnya.

Kes sedang disiasat di bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum penjara boleh sampai dua tahun atau dengan denda atau dengan kedua-duanya.

Kes turut disiasat di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan jika disabitkan kesalahan boleh dihukum penjara boleh sampai sepuluh tahun atau dengan denda atau sebat atau dengan mana-mana dua daripada hukuman itu. – MalaysiaGazette