Zeti 1MDB
Zeti Akhtar Aziz

KUALA LUMPUR – Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Dr. Mohd. Puad Zarkashi mempersoalkan mengapa bekas Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Tan Sri Zeti Akhtar Aziz masih belum disiasat berkaitan kes 1 Malaysia Development Berhad (1MDB).

Mohd. Puad berkata, nama Zeti telah banyak kali disebut dalam perbicaraan berkaitan kes berkenaan.

Menurutnya, pelbagai pihak seolah-olah lupa kenyataan yang dibuat oleh saksi utama pendakwaan Jasmine Loo Ai Swan ketika disoal peguam Datuk Seri Najib Razak, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah pada 4 April lalu.

“Dia saksi pendakwa kes 1MDB. Dia sahkan Jho Low sebut nama Zeti banyak kali. Jho Low dakwa akan ‘uruskan’ Zeti kalau wujud masalah antara 1MDB dengan Bank Negara.

“Sebelum itu Joanna Yu, Pengurus Ambank turut mengaku Jho Low sering beritahu dia bahawa Zeti rapat dengan Jho Low sehingga mungkin telah bercuti bersama.

“Semua pengakuan itu dibuat dalam mahkamah. Sampai sekarang Zeti tidak disiasat walau timbul banyak persoalan,” kata Mohd. Puad dalam kenyataan.

Tambah Mohd. Puad, media turut melaporkan keluarga Zeti menerima RM700 juta daripada penjenayah utama dalam kes 1MDB, Jho Low.

“Apatah lagi The Edge melaporkan Jho Low membayar RM700 juta ke akaun bank keluarga Zeti. Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia dan polis Singapura sahkan RM65 juta telah dikembalikan.

“Malangnya mahkamah tidak benarkan Najib memasukkan bukti ini dalam kes SRC. Hingga kini Zeti tidak disiasat? Apakah kena buat laporan polis baru disiasat? Sebab itu siasatan terhadap Najib adalah siasatan selektif,” kata Mohd. Puad.

Media sebelum ini melaporkan, polis Singapura pernah membuat makluman kepada BNM berhubung transaksi mencurigakan daripada ahli perniagaan Low Taek Jho, atau Jho Low, kepada syarikat milik suami dan anak lelaki Zeti Akhtar Aziz, ketika dia masih menjadi gabenor bank tersebut.

Laporan The Edge menyatakan dokumen dan komunikasi daripada Jabatan Hal Ehwal Komersial Polis Singapura (CAD) pada 2015 dan 2016 ada mengongsikan maklumat transaksi melibatkan Iron Rhapsody Ltd kepada BNM.

Zeti hanya bersara daripada BNM pada April 2016.

Menurut laporan itu, transaksi dibuat pada 2008 dan 2009 dan dimaklumkan kepada BNM pada 2015 dan 2016, apabila CAD mula menyiasat transaksi yang berkaitan 1MDB.

The Edge berkata dokumen yang dikongsikan CAD kepada pihak Malaysia menunjukkan akaun Iron Rhapsody di bank UBS Singapura menerima AS$16.22 juta daripada syarikat atau akaun yang berkaitan dengan Jho Low. – MalaysiaGazette