Chegu Bard berkemeja putih dilihat tiba diperkatangan mahkamah kira-kira jam 8.50 minit pagi di Johor Bahru.

JOHOR BAHRU – Ahli Jawatankuasa Penerangan Bersatu, Badrul Hisham Shaharin atau lebih dikenali Chegu Bard didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan menghasut berhubung projek kasino di Forest City menerusi media sosial baru-baru ini.

Bagaimanapun beliau mengaku tidak bersalah sejurus pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Rasidah Roslee.

Mengikut kertas pertuduhan Chegu Bard didakwa membuat penerbitan menghasut akaun Facebook atas nama Che GuBard di Mutiara Villa, Bukit Bintang, Kuala Lumpur pukul 6.30 petang pada 26 April lalu.

Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya mencadangkan jaminan RM10,000 dengan seorang penjamin.

Selain itu, pendakwaan juga memohon perintah larangan supaya tertuduh tidak mengeluarkan sebarang komen atau kenyataan umum di mana-mana termasuk platform media sosial sehingga kes selesai.

Bagaimanapun , peguam tertuduh, Muhammad Rafique Rashid Ali menyifatkan perintah larangan yang dimohon pihak pembelaan tidak khusus dan bersifat injuksi.

“Perintah itu adalah tidak berperlembagaan kerana mengikut Perkara 10, rakyat Malaysia ada kebebasan untuk membincang sesuatu perkara secara terbuka mengikut undang-undang,” katanya.

Mahkamah kemudian membenarkan jaminan RM10,000 dengan seorang penjamin bagi pertuduhan itu

Hakim Rasidah Binti Roslee turut menolak cadangan perintah larangan ekoran pendakwaan gagal mengemukakan bukti atau afidavit secara bertulis bagi menunjukkan Chegu Bard atau pihak berkaitan akan menjejaskan keadilan perbicaraan.

Mahkamah menetapkan sebutan semula kes pada 24 Jun depan bagi penyerahan dokumen dan penetapan tarikh perbicaraan.

Pendakwaan mengikut Perenggan 4(1)(c) Akta Hasutan 1948 (Akta 15) yang boleh dihukum di bawah Subseksyen 4(1) akta sama yang memperuntukkan denda maksimum RM5,000 atau penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya.

Semalam di Kuala Lumpur, Chegu Bard juga mengaku tidak bersalah terhadap dua tuduhan melakukan jenayah fitnah dan hasutan di Mahkamah Siber atas tuduhan yang sama. – MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Chegu Bard didakwa keluar kenyataan fitnah