KUALA LUMPUR – Malaysia terus kempunan menjulang Piala Thomas selepas tewas 1-3 di tangan juara 10 kali, China pada aksi separuh akhir di Pusat Sukan Chengdu High-Tech Zone sebentar tadi.
Kekalahan itu menyaksikan kemarau kejuaraan berterusan sejak kali terakhir mendapak trofi Piala Thomas pada edisi 1992 di Kuala Lumpur.
Beregu kedua negara, Nur Izzuddin Rumsani-Goh Sze Fei gagal menyumbang mata bagi mengikat kedudukan selepas Malaysia ketinggalan 1-2 terpaksa akur apabila tewas dalam pertarungan tiga set di tangan He Ji Ting-Ren Xiang Yu.
Izzuddin-Sze Fei yang juga naib juara Asia memberikan harapan buat negara apabila tampil dengan aksi agresif untuk memenangi set pertama 21-18.
Namun set kedua berlangsung penuh mendebarkan apabila beregu tuan rumah mencatat kemenangan 21-19 untuk mengheret perlawanan ke set penentuan.
Aksi set penentuan jelas memperlihatkan dominasi beregu China yang merekodkan kemenangan 21-12 sekali gus membawa pasukan itu kembali ke pentas final sejak kali terakhir pada edisi 2020 di Aarhus, Denmark.
Pencapaian ke separuh akhir kali ini adalah yang pertama sejak kali terakhir pada edisi 2016 di Kunshan.
Terdahulu, perseorangan pertama negara, Lee Zii Jia tewas di tangan pemain nombor dua dunia, Shi Yu Qi 19-21, 5-21 sebelum gandingan Aaron Chia-Soh Wooi Yik menyamakan kedudukan menerusi kemenangan ke atas pasangan nombor satu dunia, Liang Wei Keng-Wang Chang 15-21, 21-12, 21-17.
Perseorangan kedua, Leong Jun Hao turut gagal menyumbang mata apabila tewas kepada Li Shi Feng 17-21, 10-21 sebelum kekalahan Izzuddin-Sze Fei di tangan Ji Ting-Xiang Yu yang membolehkan China mengesahkan kemaraan ke pentas final.
Perebutan gelaran juara akan menemukan China menentang Indonesia yang menundukkan Taiwan 3-0 dalam satu lagi aksi separuh akhir. – MalaysiaGazette