Menteri Pengangkutan Anthony Loke, bercakap pada program M.E.S.R.A. ECRL di Bandar Utama Batang Kali, Selangor. Foto AIZAT

HULU SELANGOR – Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke mendakwa polarisasi kaum berlaku pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Baharu (KKB) disebabkan cara kempen yang dilakukan oleh parti lawan.

Menurut beliau, sebaliknya parti dalam kerajaan melaksanakan kempen yang berusaha merapatkan jurang antara kaum.

“Polarisasi ini disebabkan cara berkempen yang dilontarkan oleh pihak lawan. Kita tidak mahu polarisasi sebaliknya hendak merapatkan hubungan antara kaum.

“Sebab itu kempen kita berpaksikan kerjasama dengan semua pihak dan parti komponen dalam kerajaan perpaduan. Kita membawa tema perpaduan. Kita hendak kurangkan polarisasi ini.

“Memang kita tahu hubungan kaum kadangkala dimainkan oleh parti dan orang politik maka akan berlaku polarisasi kaum,” katanya ketika diminta memberi pandangan sama ada berlaku polarisasi kaum semasa kempen PRK KKB berlangsung.

Beliau yang ditemui selepas melancarkan Karnival Kerjaya ECRL di Dewan Dato’ Abdul Hamid, Batang Kali di sini hari ini berkata, Kerajaan Perpaduan mengelak daripada melakukan kempen yang memberi tumpuan terhadap satu kaum sahaja.

Malahan ketika berceramah dan berkempen pemimpin Kerajaan Perpaduan yang hadir terdiri daripada pelbagai kaum begitu juga dengan rakyat.

“Semalam, saya menghadiri ceramah Batang Kali yang menampilkan pemimpin pelbagai kaum dan parti. Hadirin juga daripada pelbagai kaum.

“Kita tak berkempen untuk satu kaum, semua adalah pengundi. Kita bincangkan isu bukan perkauman. Kita tak langsung bawa isu perkauman,” katanya dalam sidang media.

Beliau menegaskan, parti-parti yang berkempen seharusnya mengelak daripada membincangkan isu yang menyentuh kaum sebaiknya bercakap mengenai ekonomi termasuk peluang pekerjaan yang boleh disediakan kepada rakyat.

Katanya, Kerajaan Perpaduan berusaha untuk menonjolkan elemen kestabilan negara yang sekali gus dapat membantu rakyat menjana pendapatan.

“Apa yang kita hendak bincangkan adalah masa depan rakyat, kesejahteraan rakyat. Peluang pekerjaan. Ini antara isu penting dalam pilihan raya. Di mana-mana dalam dunia orang bercakap mengenai ekonomi, pekerjaan. Ini yang kita hendak laksanakan.

“Hari ini pun kita bercakap mengenai peluang pekerjaan, saya tak bawa unsur kempen. Tugas kerajaan adalah membawa peluang pekerjaan kepada rakyat. Kita nak menjana ekonomi dan peluang pekerjaan.

“Kita harap rakyat dapat menilai mana lebih ikhlas membangun kehidupan dan kemajuan ekonomi negara,” tegas Anthony.-MalaysiaGazette