KUALA LUMPUR – Selangor FC membuat kejutan pada hari akhir pendaftaran pemain Liga Malaysia semalam apabila membawa masuk penyerang import baharu, Reziq Bani Hani.
Ia selepas pasukan dari Liga Jordan, Al Faisaly SC mengumumkan perpisahan dengan penyerang muda Jordan itu yang akan menyertai Selangor menjelang perlawanan pertama Liga Super menentang Johor Darul Ta’zim (JDT) pada 10 Mei ini.
Al-Faisaly turut mendoakan kejayaan dan mengucapkan selamat maju jaya kepada penyerang muda Jordan itu yang bakal beraksi dalam saingan Liga Super musim ini.
Untuk rekod, pemain berketinggan 1.79 meter (m) itu sempat membantu pasukan Al-Faisaly dalam kempen Liga Juara-Juara Asia (ACL) yang mana ia sekali gus memberikan kelebihan buat Gergasi Merah bagi menghadapi ACL 2 musim ini.
Selangor sebelum ini memastikan gelaran Cabaran Asia Selangor (SAC) 2024 menjadi milik mereka selepas menumbangkan juara Liga Laos, Young Elephants FC 4-0 pada aksi di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), Selangor pada 28 April lalu.
Dua kemenangan berturut-turut dilakar anak buah Nidzam Jamil itu membolehkan mereka mengungguli saingan dengan 14 mata keseluruhan selepas kemenangan ke atas Young Elephants FC membantu mereka menambah tujuh lagi mata.
Sebelum itu, mereka sudahpun mengutip tujuh mata hasil kemenangan besar 4-0 ke atas wakil dari Brunei, DPMM FC pada aksi pertama, 26 April lalu.
Kurang seminggu lagi, pasukan Liga Super akan memulakan kempen baharu Liga Malaysia (Liga M) dengan perlawanan pertama di antara dua gergasi bola sepak negara iaitu JDT dan Selangor FC pada 10 Mei nanti.
Aksi sulung Liga Super itu dijangka menjadi tumpuan seluruh negara apabila pemenang juga bakal menjulang Piala Sumbangsih atau dikenali sebagai Piala Sultan Haji Ahmad Shah selain memberikan tiga mata penuh buat pemenang. – MalaysiaGazette