KUALA LUMPUR – Universiti Limkokwing akan memperkenalkan Program TVET Teknologi AI-Kreatif dalam usaha melatih dan mempersiapkan pelajar dengan kemahiran penting yang merentasi teknologi dan kreativiti pada masa depan.
Naib Cancelornya, Prof. Dr. Manivanan Saman berkata, program baharu itu akan melibatkan kerjasama Kumpulan Masteron yang merupakan inisiatif sebagai penanda era baru dalam menggabungkan kecerdasan buatan dengan pendidikan kreatif.
Menurut beliau, syarikat swasta itu juga dengan kerjasama dengan Kerajaan Timor Leste akan membawa pelajar dari sana ke Malaysia bagi mendapat pendidikan tinggi khususnya di Universiti Limkokwing untuk meningkatkan peluang pendidikan dan mempromosikan pertukaran budaya.
“Menganjurkan acara ini dengan sokongan dari Kumpulan Masteron dan penglibatan kerajaan Timor Leste menunjukkan komitmen kami untuk menjadikan pendidikan berkualiti tinggi dapat diakses oleh pelajar dari seluruh dunia,” katanya dalam satu kenyataan di sini.
Majlis pelancaran program dilancarkan oleh Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir.
Sementara itu, Pengarah Kumpulan MASTERON, Datuk Choy Wai Ceong berkata, kerjasama pihaknya dengan Universiti Limkokwing dan Kerajaan Timor Leste merupakan lambang visi untuk jaringan pendidikan global pada masa depan.
Menurut beliau, ia bukan sahaja untuk memajukan kecemerlangan akademik tetapi juga menggalakkan kefahaman dan kerjasama antarabangsa.
“Kami berdedikasi untuk memajukan kecemerlangan pendidikan dan pembangunan komuniti melalui kerjasama strategik dan inisiatif inovatif.
“Syarikat juga berada di barisan hadapan dalam mencipta peluang meningkatkan standard pendidikan global,” katanya. – MalaysiaGazette