Salah seorang penerima, Muhammad Esqandar Al Ariff menerima anugerah pencapaian cemerlang yang disampaikan oleh Dr. Sarip.

KOTA KINABALU – Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (KAFA) Universiti Malaysia Sabah (UMS) komited melahirkan murid-murid yang memahami serta menguasai ilmu agama dan asas fardu ain.

Naib Canselor UMS, Profesor Datuk Dr. Kasim Mansor berkata, KAFA UMS menitikberatkan ilmu, adab dan akhlak dalam membentuk kemenjadian diri murid-muridnya.

Katanya, kejayaan murid-murid KAFA bukan hanya diukur pada anugerah yang diraih tetapi kemenjadian insaniah pada seseorang murid.

“Sebagai orang Islam khususnya anak-anak murid KAFA, kemenjadian seorang murid itu tentulah melibatkan sisi adab dan akhlak yang mulia. Sebagaimana Nabi Muhammad SAW diutuskan kepada kaum musyrikin Mekah untuk mengajarkan mereka adab dan akhlak Islam dahulu sebagai tunjang dalam memperbaiki dan memperkuatkan lagi keimanan.

“Sehinggakan kemuliaan adab dan akhlak menjadi salah satu keistimewaan yang mencerminkan agama Islam mendahului ilmu itu sendiri,” katanya ketika merasmikan Majlis Anugerah Prestasi Cemerlang KAFA UMS bagi sesi 2023/2024 dan Sambutan Hari Raya Aidilfitri KAFA Pusat Islam UMS, baru-baru ini.

Sementara itu, Pengarah Pusat Islam UMS, Dr. Sarip Adul berkata kejayaan anak-anak dicapai apabila matlamat modal insan Islam berjaya dibentuk oleh generasi akan datang dengan keseimbangan ilmu dan keindahan adab serta sahsiah.

“Pelaburan terbesar kita sebagai ibu bapa adalah anak-anak yang soleh dan solehah. Janganlah kita sesekali meletakkan kepentingan lain melebihi kepentingan dan keutamaan pendidikan agama ke atas anak-anak,” katanya.

Pada majlis tersebut, seramai 90 murid diraikan dalam lapan kategori iaitu Pelajar Cemerlang Ujian Akhir Akademik, Pelajar Terbaik Sahsiah, Anugerah Tokoh Pelajar Perempuan dan Lelaki serta Anugerah Tokoh Pelajar Mithali.

Turut diraikan, Graduasi Tahun Lima dan Tahun Enam, Anugerah Kecemerlangan UPKK bagi Sesi 2023/2024, Anugerah Kejohanan Pertandingan Ihtifal dan Anugerah Pelajar Cemerlang 8A UPKK Sesi 2022/2023. – MalaysiaGazette