Ziana Zain memghiburkan tetamu pada Majlis Makan Malam Amal Alumni Bersama Prominent Industry.

KUALA LUMPUR – Universiti Malaysia Terengganu (UMT) menganjurkan majlis makan malam amal dengan penglibatan pemain industri dan juga alumni sejak universiti berfokus marin itu ditubuhkan sejak lewat 80an.

Majlis Makan Malam Amal Alumni Bersama Prominent Industry itu diadakan oleh Pusat Alumni UMT bagi mendapatkan dana khas untuk Tabung Alumni, kata Pengarah program, Prof. Madya Dr. Mohd Yusof Shuaib Ibrahim.

“Penganjuran amal ini dilaksanakan adalah untuk meningkatkan kolaborasi antara alumni dan rakan industri daripada pelbagai peringkat yang melibatkan usahawan-usahawan alumni UMT di seluruh Malaysia, chapter-chapter alumni dan juga alumni UMT bagi
memenuhi inisiatif OS keempat yang terkandung dalam Pelan Strategik UMT 2023-2027.

“Kita dalam usaha menubuhkan Rumah Alumni UMT dan hasil sumbangan dana pada majlis ini turut disalurkan bagi merealisasikan harapan besar warga alumni selain sebagai medium untuk para alumni untuk menyumbang kembali kepada universiti.

Turut diadakan gimik pelancaran Rumah Alumni yang bakal dibina di kampus UMT, Kuala Nerus sebagai Pusat Sehenti bagi warga pelajar dan alumni.

Dr. Yusof yang juga merangkap Pengarah Pusat Alumni berkata, Rumah Alumni merangkumi ruang khas sebagai galakan aktiviti keusahawanan pelajar serta pusat kegiatan mahasiswa.

“Rumah Alumni ini akan dijadikan perkara utama dalam program ini sebagai program jangka masa panjang bagi pengumpulan dana Pusat Alumni. Ia merangkumi ruang bagi aktiviti keusahawanan pelajar serta pusat kegiatan aktiviti mahasiswa selain mendekatkan yang jauh dan mengakrabkan yang dekat bagi menyantuni alumni dan industri dengan melibatkan mereka dalam program-program pemerkasaan mahasiswa.

Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UMT, Prof. Dr. Mohd Izani Mohd Zain menganggap penganjuran itu seiring dengan inisiatif yang terkandung dalam sembilan Prakarsa HEPA yang diperkenalkannya baru-baru ini.

“Dalam membingkas prakarsa ke arah pemerkasaan mahasiswa, sembilan Prakarsa HEPA telah diwujudkan di mana Pusat Alumni menfokuskan kepada Prakarsa yang ke-8 iaitu merancak sumbangan alumni untuk alma mater.

“Antara inisiatif yang terlibat adalah meningkatkan penjanaan sumber kewangan dengan lebih agresif dan menubuhkan rumah alumni sebagai lambang kemegahan alumni UMT. Pembinaan dan pewujudan Rumah Alumni sebagai one stop centre pusat perkongsian kepakaran, maklumat dan industri Alumni,” katanya. – MalaysiaGazette