KUALA LUMPUR – Timbalan Perdana Menteri berjanji akan membawa permohonan Gabungan Persatuan Penulis Nasional Malaysia (Gapena) yang berjuang untuk sekian lama mendapatkan hak milik kekal tanah Rumah Gapena di Jalan Belfield, Bukit Petaling.
Komitmen itu dizahirkan oleh, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang akan membawa perkara itu kepada pengetahuan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bagi memastikan gabungan itu mendapat hak milik kekal Rumah Gapena yang selama ini dijadikan pusat kegiatannya.
Ahmad Zahid juga optimis dengan keputusan yang akan diambil oleh Anwar dalam permohonan tersebut.
“Tanah ini adalah milik Kerajaan Persekutuan. Dulu ia adalah kuarters kerajaan yang disewakan kepada Gapena. Jadi Gapena memohon agar hak milik kekal diberikan. Insya-Allah saya akan bawa perkara ini kepada perdana menteri.
“Ini (Gapena) adalah sebuah badan bukan kerajaan yang telah wujud sejak 54 tahun lalu, saya fikir perdana menteri akan bersetuju dengan saranan yang akan dibawa.
“Selama ini komitmen saya tak pernah berubah dan goyah. Kalau kepimpinan Gapena mahu kompleks dan tanah ini jadi hak milik kekal Gapena, insya-Allah saya bersama-sama memperjuangkan,” katanya kepada media pada Majlis Perasmian Kompleks Rumah Gapena dan Majllis Aidilfitri Penulis Bersama Timbalan Perdana Menteri di sini, hari ini.
Untuk makluman, kerajaan meminjamkan bangunan Jabatan Kerja Raya (JKR) kepada Gapena di Jalan Dewan Bahasa, dan kemudian pada 2012 rumah berkenaan diberi kepada Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM).
Kemudian GAPENA dipinjamkan rumah JKR di Jalan Belfield, Bukit Petaling sehingga hari ini. -MalaysiaGazette
















