KUALA LUMPUR – Trend baharu jenayah eksploitasi seksual dalam talian dilihat semakin membimbangkan susulan penahanan lapan kanak-kanak dalam Op Pedo 3.0, baru-baru ini.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk M. Kumar berkata, siasatan mendapati ada antara kanak-kanak terbabit bukan sahaja mengakses bahan penganiayaan seksual kanak-kanak (CSAM), malah menghasilkan kandungan berbentuk animasi dan menjualnya dalam komuniti dalam talian yang mempunyai kecenderungan sama.
Kandungan berkenaan kemudian dijual dengan harga antara RM50 hingga RM60 menerusi pelbagai kaedah pembayaran digital, termasuk e-dompet, PayPal dan Touch ’n Go.
Katanya, siasatan masih dijalankan bagi mengenal pasti punca pendedahan kanak-kanak terbabit kepada aktiviti berkenaan, termasuk kemungkinan pengaruh daripada persekitaran dalam talian dan teknologi baharu.
“Penglibatan kanak-kanak dalam elemen ini sangat membimbangkan dan peranan ibu bapa untuk mengawasi penggunaan media sosial serta aktiviti dalam talian anak-anak perlu dipertingkatkan.
“Tindakan penguatkuasaan akan terus dilakukan, namun elemen kesedaran perlu dilaksanakan secara berterusan dan bukan hanya selepas sesuatu operasi dijalankan,” katanya ketika sidang media di sini, hari ini.
Beliau berkata, sejak 2024, pihaknya telah melancarkan Op Pedo 1, Op Pedo 2 dan Op Pedo 3 yang membawa kepada penemuan sebanyak 1,573,193 fail CSAM dan bahan pornografi.
“Satu jumlah yang sangat atau amat besar, dan perkara ini membimbangkan pihak polis dan juga SKMM.
“Sehubungan itu, saya menyeru semua pihak untuk memainkan peranan supaya dapat meningkatkan kesedaran sosial dan moral.” tegasnya – MalaysiaGazette
















