Foto FB Johor Southern Tigers.
KUALA LUMPUR – Juara 10 kali berturut-turut Liga Super, Johor Darul Ta’zim (JDT) menyuarakan kebimbangan berkenaan insiden yang berlaku terhadap pemain Harimau Selatan, Safiq Rahim malam tadi.

Justeru, Ketua Pegawai Eksekutif JDT, Alistair Edwards menggesa pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) menyiasat segera insiden yang berlaku di Pusat Latihan JDT berkenaan.

“Insiden ini bersama kejadian menimpa Akhyar Rashid dan Faisal Halim tidak mempunyai tempat dalam dunia arena bola sepak.

“Dengan perkembangan terbaharu ini, JDT juga meningkatkan tahap keselamatan terhadap pemain-pemain kami sebagai langkah berwaspada.

“Kami juga menasihati pemain-pemain JDT agar lebih berwaspada dengan persekitaran dan hantaran di media sosial masing-masing setiap masa,” tulisnya di Facebook kelab itu,

Malam tadi, kereta yang dinaiki pemain JDT, Syafiq Rahim diserang  dua lelaki bermotosikal di Jalan Seri Gelam, Johor Bahru selepas selesai mengambil barang di pusat berkenaan.

Safiq mengakui terkejut dengan insiden tersebut turut menitipkan pesanan kepada pemain-pemain bola sepak lain untuk sentiasa berhati-hati.

“Tak sangka saya pula diserang berdekatan pusat latihan JDT. Zaman kami kena berjaga-jaga,” tulis Safiq dalam kejadian yang mengakibatkan cermin kereta belakang miliknya pecah. – MalaysiaGazette