Gambar hiasan
KUALA LUMPUR – Pengenalan pengeluaran simpanan melalui akaun ketiga Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan kenaikan gaji buat pekerja sektor awam pada kadar melebihi 13 peratus akan merangsang aktiviti berbelanja.

Nanyang Siang Pau melaporkan, perniagaan yang akan menerima impak positif adalah hartanah, perkhidmatan makanan serta jualan peralatan rumah dan barang elektrik.

Penganalisis Hong Leong Investment Bank, Tan Kai Shuen berkata, kenaikan gaji penjawat awam akan membawa kesan serta-merta kepada kawasan perumahan yang mempunyai ramai kakitangan kerajaan.

Beliau berkata, IOI Properties yang berpangkalan di Putrajaya merupakan antara syarikat yang boleh bermanfaat daripada kenaikan gaji pekerja sektor awam.

“Putrajaya merupakan pusat pentadbiran Kerajaan Persekutuan yang mempunyai lebih 100,000 penduduk pada 2020 dengan majoritinya merupakan penjawat awam.

“Kenaikan gaji pada kadar tinggi akan meningkatkan kuasa beli pengguna dan ini akan membawa kebaikan kepada IOI Resort City dan IOI City Mall, tidak kira perniagaan peruncitan atau hartanah,” katanya.

Hujahnya lagi, IOI City Mall merupakan pusat membeli-belah terbesar di Malaysia dan pembangunan fasa ketiga dan keempat masih dalam rancangan dan pembangunan.

Dalam pada itu, pensyarah ekonomi Universiti Tunku Abdul Rahman, Profesor Wong Chin Yoong berkata, sektor hartanah, perkakas rumah dan barangan elektrik akan menerima kesan positif susulan kenaikan gaji dan pengenalan akaun ketiga.

Timbalan Presiden Dewan Perniagaan dan Perindustrian Cina Malaysia, Datuk Goh Yih Pyng pula berkata, kenaikan gaji kakitangan kerajaan akan membawa kesan limpahan kepada sektor-sektor peruncitan.

“Perniagaan yang boleh menerima manfaat termasuklah perkhidmatan makanan, perkakas rumah, barangan elektrik, keperluan rumah, sampailah pakaian,” katanya.

Sebelum ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kerajaan akan terus memantau kadar inflasi dan impaknya kepada negara, susulan pengumuman kenaikan gaji penjawat awam lebih 13 peratus bermula Disember ini.

Anwar berkata, kerajaan akan meneliti dari segi pelaksanaan kenaikan gaji tersebut sekali gus memastikan hasil negara meningkat menerusi pemantauan yang lebih kemas.